Hati-hati susulan penemuan DNA babi dalam pasta

Penemuan pasta mengandungi DNA babi mencetuskan kerisauan semua pihak. Gambar hiasan
Penemuan pasta mengandungi DNA babi mencetuskan kerisauan semua pihak. Gambar hiasan
A
A
A

PENEMUAN DNA babi dalam produk makanan jenama terkemuka seperti disahkan Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei baru-baru ini mengejutkan ramai pihak.

Walaupun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia menjelaskan pasta tersebut tidak dijual di pasaran Malaysia, namun begitu apa jaminan produk tersebut tidak masuk ke negara kita? Jika dibeli melalui dalam talian, siapa yang boleh menyekatnya?

Kes ini merupakan isyarat besar kepada pengguna Muslim bahawa kebergantungan semata-mata kepada jenama, pembungkusan menarik atau kepercayaan umum terhadap produk import ialah satu sikap yang berisiko.

Dalam konteks masyarakat yang majoritinya Muslim, isu halal bukanlah perkara remeh. Halal bukan soal 'boleh makan atau tidak', tetapi ia melibatkan soal akidah, amanah dan tanggungjawab semua pihak dalam rantaian pengeluar, pengimport, pengedar dan pengguna itu sendiri.

Kes ini juga mendedahkan satu realiti pahit iaitu tidak semua produk yang berada di pasaran sekarang benar-benar selamat dari sudut halal walaupun telah lama digunakan atau popular.

Ramai menganggap produk berasaskan gandum seperti pasta ini secara automatiknya halal, tanpa menyedari bahawa proses pengeluaran, bahan tambahan dan pencemaran silang juga memainkan peranan besar.

Sikap terlalu selesa inilah yang perlu diubah dalam masyarakat. Pengguna Muslim mesti kembali kepada prinsip asas iaitu semak, teliti dan jangan ambil sikap mudah.

Kepekaan terhadap logo halal yang sah, badan pensijilan yang diiktiraf serta status produk perlu dijadikan amalan dan bukannya pilihan. Langkah pihak berkuasa menjalankan ujian makmal dan memaklumkan hasil siasatan kepada awam secara terbuka wajar dipuji.

Ketegasan dalam isu halal bukan bertujuan untuk menimbulkan ketakutan, tetapi melindungi hak pengguna dan kesucian syariat.

Artikel Berkaitan:

Halal bukan slogan pemasaran. Ia adalah tanggungjawab agama. Dalam soal makanan, setiap suapan bukan sahaja mengenyangkan tubuh, tetapi membentuk jiwa dan keberkatan hidup.

Berwaspadalah kerana dalam soal halal, tiada ruang untuk bersangka-sangka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!