Perlis cuma tolak logo, tiada masalah ikut tema Hari Kebangsaan

Mohd Shukri Ramli. - Foto Bernama.
Mohd Shukri Ramli. - Foto Bernama.
A
A
A

KANGAR - Kerajaan negeri Perlis tidak mempunyai masalah menggunakan tema rasmi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, 'Tekad Perpaduan Penuhi Harapan' yang dilancarkan Kerajaan Persekutuan pada 27 Mei lalu.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, walaubagaimanapun, bagi sambutan peringkat negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) ini, mereka tidak menggunakan logo rasmi mempunyai perkataan Malaysia Madani yang digunakan dalam tema berkenaan.

"Setakat ini (saya) belum dapat apa-apa lagi daripada pucuk pimpinan (Perikatan Nasional), jadi kita kena tunggu dan lihat dahulu dan perkara ini juga akan dibincangkan dengan pucuk pimpinan PN terlebih dahulu.

"Namun, saya melihat kita boleh sahaja ikut (kerajaan Pusat), tiada masalah cuma kita tidak pakai logo Malaysia Madani itu sebaliknya kita pakai moto (tema) sahaja," katanya selepas merasmikan Anugerah Seni Budaya Negeri Perlis anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN) Perlis, di sebuah hotel, di sini pada malam Sabtu.

Jelas Mohd Shukri, penggunaan logo dan slogan berbeza antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri bagi sambutan Hari Kebangsaan bukan sesuatu yang baharu.

Menurutnya, perkara sama pernah dilakukan pada 2012 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu merupakan Ketua Umum PKR di blok pembangkang Pakatan Rakyat (PR) dan menyatakan, penggunaan logo dan tema alternatif bagi sambutan Hari Kebangsaan adalah tidak salah.

PR menggunakan tema alternatif ‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa’ bagi sambutan Hari Kebangsaan 2012 manakala tema rasmi kerajaan Persekutuan adalah ‘55 Tahun Merdeka: Janji Ditepati’.

Kata Anwar ketika itu, penggunaan tema atau slogan yang berbeza untuk sambutan Hari Kebangsaan di negeri PR tidak akan memecahbelahkan rakyat kerana tema sedia ada yang dilancarkan kerajaan Persekutuan Barisan Nasional (BN) sudah pun mewujudkan keadaan berpuak-puak.

Artikel Berkaitan:

Pada Sabtu, Ahmad Fadhli Shaari yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, negeri di bawah pentadbiran PN mungkin menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza untuk sambutan peringkat negeri, berbanding menggunakan logo dan tema yang diumumkan di peringkat Persekutuan.

Menurutnya, Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang ditadbir parti itu berkemungkinan menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN bertemakan 'Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera'.

ARTIKEL BERKAITAN:

Tema Hari Kebangsaan berbeza bersifat politik - Adam Adli

Hari Kebangsaan: Cadang guna tema, logo berbeza khianati prinsip federalisme

Hari Kebangsaan sambutan negara, tidak patut ada perbezaan - Fahmi

Siasat Ketua Pemuda PN lancar logo, tema Hari Kebangsaan berbeza - Amanah