Guna logo, tema berbeza bawa perpecahan lebih besar - Ahmad Maslan

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan cadangan untuk menggunakan logo serta tema yang berbeza bagi sambutan Hari Kebangsaan di empat negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) sebagai tidak wajar dan perlu ditarik balik.

Menurutnya, tindakan sedemikian hanya akan memecahbelahkan hubungan antara kerajaan negeri dan pusat sekali gus turut mempengaruhi rakyat.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, perkara tersebut turut memberi imej buruk kepada negara dan melambangkan perpecahan dalam kalangan rakyat.

"Tidak pernah dalam ingatan saya berlaku perkara sedemikian di negara kita. Jadi, ini merupakan satu perkara yang tidak baik sebenarnya dan kita berharap ia tidak berlaku sebab nampak sangat berpecahnya kita dengan kewujudan perkara itu.

"Malaysia Madani ini adalah selaku tema umum membawa maksud pembangunan, kemajuan dan peradaban. Madani maksudnya tamadun bernilai tinggi berteras nilai murni, itu maksud Madani," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Melangkah Bersama Peniaga Wanita B40 di sebuah hotel di bandar raya ini pada Ahad.

Ahmad memotong pulut kuning sebagai simbolik perasmian Majlis Melangkah Bersama Peniaga Wanita B40 di sebuah hotel di Johor Bahru pada Ahad.
Ahmad memotong pulut kuning sebagai simbolik perasmian Majlis Melangkah Bersama Peniaga Wanita B40 di sebuah hotel di Johor Bahru pada Ahad.

Pada Sabtu, Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari dilaporkan berkata, Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu berkemungkinan menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Artikel Berkaitan:

Logo yang diperkenalkan Pemuda PN itu berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan berserta tema 'Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera'.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengumumkan 'Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan' diangkat sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2023.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, sekiranya cadangan itu diteruskan, perpecahan antara kerajaan negeri dan kerajaan Pusat semakin meruncing.

Beliau berharap perkara seperti itu tidak berlaku bagi mengelak kesan perpecahan yang lebih besar dan menggugat perpaduan sedia ada.

"Sepatutnya kita boleh berjiwa besar, rakyat di negeri itu telah membuat pilihan tetapi kita jangan meruncingkan lagi perhubungan itu.

"Ia bukan menyatupadukan hubungan malah meruncingkan hubungan yang pada pandangan saya itu tidak baik," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tema Hari Kebangsaan berbeza bersifat politik - Adam Adli

Hari Kebangsaan: Cadang guna tema, logo berbeza khianati prinsip federalisme

Hari Kebangsaan sambutan negara, tidak patut ada perbezaan - Fahmi

Siasat Ketua Pemuda PN lancar logo, tema Hari Kebangsaan berbeza - Amanah