'Arwah rancang bernikah kali kedua minggu depan' - Ibu tiri wanita ditemukan maut

Norsiah menunjukkan gambar Allahyarham Zahrullail dalam telefon bimbitnya.
Norsiah menunjukkan gambar Allahyarham Zahrullail dalam telefon bimbitnya.
A
A
A

ALOR SETAR – Eksekutif operasi bank yang ditemukan maut dengan tiga kesan tikaman dalam kejadian di Taman Sultan Abdul Halim, Jalan Tanjung Bendahara di sini pada Isnin dikatakan bakal bernikah pada minggu hadapan.

Ibu tiri mangsa, Norsiah Yahya, 66, berkata, Allahyarham Zahrullail Basir, 52, kelihatan gembira ketika membuat persiapan untuk berkahwin kali kedua dengan rakan lamanya selepas beberapa tahun berstatus ibu tunggal.

Menurutnya, mangsa juga pernah datang menemui mereka di Teluk Intan, Perak sebelum ini bagi membincangkan perkara tersebut.

“Arwah sudah membuat persiapan untuk melangsungkan pernikahan kali kedua pada 13 Februari ini dan majlis perkahwinan akan diadakan keesokan harinya, yang dibuat sekali dengan majlis pertunangan adik perempuannya.

“Makcik terkejut apabila mendapat tahu arwah sudah tiada kira-kira jam 9 pagi tadi. Makcik memang sedih kerana arwah seorang anak yang baik,” katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.

Menurut Norsiah, mereka sekeluarga bergegas dari Teluk Intan sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Katanya, Zahrullail mempunyai enam anak berusia antara lapan hingga 29 tahun dan ketika kejadian hanya tiga anak berada di rumah.

“Apa yang makcik tahu, awal pagi tadi anak sulungnya pulang ke rumah sekitar jam 4 pagi dan ketika itu anak keempatnya buka pintu sebelum masuk semula ke bilik untuk sambung tidur.

“Pada waktu pagi, mereka sedar ibu mereka sudah meninggal dunia sebelum hubungi pihak polis, manakala abang sulung pula sudah tiada,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, cubaan menghubungi anak sulung mangsa juga tidak berjaya biarpun beberapa kali percubaan dibuat.

“Apa sahaja yang makcik masak, dia akan makan dengan berselera. Walaupun makcik hanya ibu tiri, tetapi sayang seperti anak kandung sendiri.

“Cucu pula seorang yang baik dan pendiam, tetapi tidak tahulah apa yang sebenarnya berlaku. Biarlah polis jalankan siasatan kerana kami tak tahu cerita sebenar,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, mangsa ditemukan maut dengan tiga kesan tikaman di lokasi kejadian.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, wanita berusia 52 tahun itu ditemui terbaring di bilik tidur dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Ringkasan AI

  • Eksekutif operasi bank ditemukan maut dengan tiga kesan tikaman di Alor Setar
  • Bakal bernikah pada minggu hadapan dengan rakan lama
  • Mangsa adalah ibu tunggal kelihatan gembira membuat persiapan kahwin kali kedua
  • Mangsa mempunyai enam orang anak
  • Siasatan polis masih berjalan untuk mengetahui punca sebenar kejadian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!