Hari Kebangsaan: Cadang guna tema, logo berbeza khianati prinsip federalisme

Cadangan Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari untuk menggunakan tema dan logo berbeza bagi sambutan Hari Kebangsaan di empat negeri diperintah PN dilihat seolah-olah mengkhianati prinsip federalisme yang diamalkan oleh negara ini.
Cadangan Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari untuk menggunakan tema dan logo berbeza bagi sambutan Hari Kebangsaan di empat negeri diperintah PN dilihat seolah-olah mengkhianati prinsip federalisme yang diamalkan oleh negara ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cadangan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari untuk menggunakan tema dan logo berbeza bagi sambutan Hari Kebangsaan di empat negeri diperintah PN dilihat seolah-olah mengkhianati prinsip federalisme yang diamalkan oleh negara ini.

Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Mujibu Abd Muis berkata, tindakan berkenaan mampu meregangkan hubungan antara kerajaan Pusat dan negeri memandangkan sambutan Hari Kebangsaan bersifat nasional dan diraikan bagi mengenang perjuangan menuntut kemerdekaan negara menerusi penyatuan kaum

"Federalisme merujuk kepada semangat kerjasama dan hubungan baik antara Kerajaan Pusat dan negeri yang lazimnya dalam hal-hal keraian dan sambutan bersifat kebangsaan, negara dan negeri akan ikut serta patuh tanpa prejudis.

"Menggunakan logo dan tema berlainan jelas bermotifkan politik. Ia tidak patut berlaku atas keperluan untuk menghormati semangat berpersekutuan,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.

Beliau berkata sambutan berkenaan sepatutnya dijadikan langkah untuk memupuk perpaduan dan penyatuan dan bukannya digunakan sebagai kesempatan untuk berpolitik yang akan memecahbelahkan perpaduan rakyat.

Justeru, Mujibu meminta Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda Pas itu mempertimbangkan semula cadangan berkenaan.

Sementara itu, Penganalisis Politik dan Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr Jeniri Amir mempersoalkan niat tindakan berkenaan kerana ia seolah-olah menunjukkan rasa tidak hormat kepada prinsip Rukun Negara yang menganjurkan perpaduan yang lebih erat dalam kalangan masyarakat.

Katanya, tindakan itu juga mampu merenggangkan hubungan di antara kerajaan Persekutuan dan negeri yang tidak sepatutnya berlaku dan tidak menguntungkan mana-mana pihak.

Artikel Berkaitan:

"Dalam soal sambutan negara ini, kita haruslah seiring sejalan, bukan sahaja orang politik yang terbabit tetapi juga belia dan masyarakat terutamanya anak-anak yang masih bersekolah, jadi mungkin mereka akan kata kenapa tidak sama? Jadi saya rasa ia akan dapat memberikan kesan negatif kepada negara,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari dilaporkan berkata, empat negeri di bawah pemerintahan PN mungkin menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza untuk sambutan peringkat negeri, berbanding menggunakan logo dan tema yang diumumkan di peringkat Persekutuan.

Logo yang diperkenalkan Pemuda PN berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan serta mengambil elemen warna yang terdapat pada Jalur Gemilang, dengan tema 'Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera'. - Bernama