AMK gesa Pemuda PN batal hasrat guna logo, tema berbeza

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Perikatan Nasional (PN) digesa menarik semula cadangan untuk menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza di empat negeri ditadbir pembangkang kerana dikhuatiri boleh memecahbelahkan rakyat.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) dalam kenyataan berkata, langkah itu bukan sahaja menunjukkan sikap kurang patriotik PN malah bertentangan dengan matlamat sambutan kemerdekaan bersandarkan semangat federalisme.

“Tambahan pula, penggunaan warna tema PN terhadap logo tersebut juga menzahirkan sikap berpuak-puak PN secara melampau yang mengutamakan kepentingan parti melebihi kepentingan negara.

“Oleh itu, PN digesa untuk menghentikan konfrontasi yang berpanjangan antara negeri-negeri yang ditadbirnya dengan Kerajaan Persekutuan dan tidak terus menyimbah minyak ke api yang marak tatkala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghulurkan tangan untuk memaut semula tali silaturrahim dengan semua pihak pasca pilihan raya negeri (PRN),” ujarnya pada Ahad.

Tambah AMK, alangkah rugi jika PN memilih untuk terus berkonfrontasi dengan Kerajaan Persekutuan sekali gus menafikan semangat federalisme sehingga menggadai kepentingan rakyat.

Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari pada Sabtu melancarkan logo dan tema Hari kebangsaan Peringkat Pemuda PN di ibu pejabat Pas yang berkemungkinan digunakan di Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.

Logo yang diperkenalkan itu berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan serta mengambil elemen warna yang terdapat pada Jalur Gemilang, dengan tema Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera.

ARTIKEL BERKAITAN:

Artikel Berkaitan:

Tema Hari Kebangsaan berbeza bersifat politik - Adam Adli

Hari Kebangsaan: Cadang guna tema, logo berbeza khianati prinsip federalisme

Hari Kebangsaan sambutan negara, tidak patut ada perbezaan - Fahmi

Siasat Ketua Pemuda PN lancar logo, tema Hari Kebangsaan berbeza - Amanah