[VIDEO] Kenyataan Sanusi: Anwar serah sepenuhnya kepada Peguam Negara

Anwar semasa Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT), pada Selasa.
Anwar semasa Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT), pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan sepenuhnya kepada Peguam Negara untuk mengambil tindakan bersesuaian terhadap kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menuntut Pulau Pinang milik Kedah.

Menurut Anwar, kenyataan tersebut adalah tidak bertanggungjawab dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memulakan siasatan berdasarkan beberapa peruntukan undang-undang sedia ada.

Tambahnya, siasatan dilakukan di bawah Kanun Keseksaan dan juga Akta Hasutan.

“Sebahagian laporan telah dikemukakan kepada Peguam Negara dan menunggu untuk diambil tindakan.

“Kedudukan Negeri Pulau Pinang sebagai sebuah negeri dalam Malaysia yang berasingan daripada Kedah jelas termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada Negeri-Negeri Tanah Melayu, termasuk Pulau Pinang.

“Mengapa perkara ini dibangkitkan? Apakah kerana nak gelojoh kuasa Pilihan Raya Negeri (PRN), kita korbankan prinsip Perlembagaan dan timbulkan huru hara. Ini menyebabkan timbul permasalahan,” katanya di Dewan Rakyat semasa Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang meminta Perdana Menteri menyatakan tindakan ke atas gesaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda untuk padamkan Pulau Pinang telah memecahbelahkan perpaduan rakyat.

Tambah Anwar, diharapkan melalui siasatan PDRM yang diserahkan kepada Peguam Negara, perkara tersebut dapat dihentikan dengan segera kerana telah melanggar prinsip Perlembagaan yang di perkenan Majlis Raja-Raja.

Isnin lalu, Sanusi mendakwa Pulau Pinang berada di bawah hak milik Kedah.

Pemimpin PAS Kedah itu juga berkata, Perak dan Perlis adalah satu-satunya negeri yang mempunyai sempadan dengan Kedah.

Bagaimanapun, Anwar meminta Sanusi untuk memahami Perlembagaan yang menyenaraikan Pulau Pinang sebagai salah satu daripada negeri di Semenanjung.

Oleh demikian, Sanusi meminta untuk Perlembagaan dipinda kerana berdasarkan kajian sejarah dan akademik, Kedah memiliki Pulau Pinang.

Jelas Perdana Menteri, kedudukan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri dalam Malaysia yang berasingan daripada Kedah jelas termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan.

Ia memperuntukkan bahawa Negeri-negeri Persekutuan adalah terdiri daripada Negeri-Negeri Tanah Melayu iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu, dan Negeri-Negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata Fasal (3) Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan juga telah menjamin kedudukan Perlembagaan Negeri termasuk Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Justeru Anwar berkata isu itu tidak seharusnya dibangkitkan lebih-lebih lagi Malaysia ketika ini telah mencapai kemerdekaan dan merupakan sebuah negara berdaulat.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan sejarah bahawa Pulau Pinang dan Seberang Perai adalah sebahagian daripada Kedah sebelum ini, namun ia kemudiannya berubah apabila Inggeris memperoleh Pulau Pinang dan Seberang Perai seperti mana kedudukan Melaka, Singapura, Sabah dan Sarawak.

ARTIKEL BERKAITAN:'Pulau Pinang itu Kedah punya' - Sanusi

Polis Pulau Pinang terima empat laporan terhadap Sanusi

Jangan pertikai kedudukan Pulau Pinang

[VIDEO] Kenyataan Sanusi: Anwar serah sepenuhnya kepada Peguam Negara

Isu panas dibangkitkan di Dewan Rakyat bakal jadi tumpuan

Pulau Pinang milik Kedah: 'Tiada sebab Sanusi dikenakan tindakan'

Dakwaan Pulau Pinang milik Kedah tidak berasas - Ramkarpal

Pulau Pinang milik Kedah: Mahfuz saran Sanusi tuntut di mahkamah

Pulau Pinang tidak pernah terpisah dari Kedah

'Berunding selesaikan isu Pulau Pinang-Kedah' - BN Kedah

Pulau Pinang milik Kedah: Sanusi sengaja cetus kontroversi