'Berunding selesaikan isu Pulau Pinang-Kedah' - BN Kedah

Mahdzir (tengah) hadir merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke- 7, Pertubuhan Kami Anak Felda (KAF) Wilayah Alor Setar, di Dewan Felda Lubuk Merbau, Padang Terap pada Sabtu.
Mahdzir (tengah) hadir merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke- 7, Pertubuhan Kami Anak Felda (KAF) Wilayah Alor Setar, di Dewan Felda Lubuk Merbau, Padang Terap pada Sabtu.
A
A
A

PADANG TERAP - Kerajaan Kedah disarankan agar menggunakan kaedah berunding bagi menyelesaikan isu antara Kedah dan Pulau Pinang yang telah berlarutan sejak sekian lama.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, isu tuntutan caj air mentah terhadap Pulau Pinang didakwa menjadi punca Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyatakan negeri itu adalah hak milik Kedah.

"Saya fikir ia hanya bermula daripada bekalan air, sumber bekalan air dari Kedah yang pergi kepada Pulau Pinang.

"Air tu daripada hulu Kedah mengalir (melalui) Sungai Muda yang hujungnya ada sempadan antara Kedah dan Pulau Pinang, itu punca jadi pertikaian yang panjang dan sudah lama.

"Jadi saya fikir paling baik sekali adalah bawa berunding untuk menyelesaikan isu antara Pulau Pinang dan Kedah. Saya ingat sandaran yang menteri besar pakai itu mungkin atas bayaran (pajakan) yang dibuat oleh kerajaan Persekutuan kepada Kedah bukan kerajaan Pulau Pinang," kata bekas Menteri Besar Kedah itu

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke- 7, Pertubuhan Kami Anak Felda (KAF) Wilayah Alor Setar di Dewan Felda Lubuk Merbau, dekat sini pada Sabtu.

Mahdzir yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah berkata, tuntutan caj air mentah juga pernah dibawanya melalui kaedah rundingan.

"Cara kita bangkit pada waktu itu duduk di meja. Kita berunding, ada yang boleh diberi perhatian dan ada benda yang dia ada pro and cons lah, bila kita buat analisa kita dapati ada juga perkara yang kemungkinan kita tak dapat," ujarnya.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, bayaran khas berjumlah RM200 juta kepada Kedah atas pengorbanan negeri itu menyumbang keterjaminan makanan negara dan sumber air untuk negeri jiran juga telah dituntut sejak zaman pemerintahan bekas menteri besar, Allahyarham Datuk Seri Syed Razak Syed Zain.

Menurutnya, tuntutan yang dilakukan oleh kerajaan negeri di bawah kepimpinan Muhammad Sanusi kepada kerajaan Persekutuan mengenai sawah padi dan juga kawasan hutan di Kedah bukanlah perkara baharu.

"Ketika Allahyarham menjadi menteri besar (1999-2005) dituntut supaya satu penilaian mesti dibuat, berapa keluasan padi dan berapa keluasan hutan yang tak boleh ditebang dan dibuat surat pada waktu itu.

"Kemudian saya menjadi menteri besar. Saya pun dah buat surat kepada kerajaan Persekutuan saya ingat bekas menteri besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir pun mungkin pernah buat surat yang sama," jelas Mahdzir lagi.

Pada 2021, media telah melaporkan bahawa kerajaan Kedah menuntut bayaran royalti pajakan Pulau Pinang sebanyak RM100 juta daripada kerajaan Persekutuan selepas ia tidak pernah dinilai semula sejak 1786.

Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, ketika ini kerajaan negeri hanya menerima bayaran khas sebanyak RM10 juta setahun sejak 2018 selain bayaran royalti sebanyak RM10,000 setahun.