Israel-AS serang Iran: Sekatan ruang udara jejaskan beberapa laluan ke Asia Barat

Serangan Israel-As ke atas Iran menyebabkan sekatan ruang udara di beberapa kawasan di Asia Barat.
Serangan Israel-As ke atas Iran menyebabkan sekatan ruang udara di beberapa kawasan di Asia Barat.
A
A
A

SHAH ALAM - Penumpang yang ingin melakukan perjalanan ke, dari, atau transit melalui sebahagian kawasan di Asia Barat dinasihatkan untuk menyemak status penerbangan terkini terus dengan syarikat penerbangan masing-masing sebelum berangkat ke lapangan terbang.

Malaysia Airports dalam kenyataannya memaklumkan, sekatan ruang udara di beberapa kawasan mungkin mengakibatkan kelewatan, laluan semula atau pembatalan berdasarkan penilaian keselamatan syarikat penerbangan.

Ujarnya, walaupun perkhidmatan masih beroperasi, jadual dan laluan mungkin disemak semula pada bila-bila masa.

"Penumpang dinasihatkan untuk mengesahkan status penerbangan mereka terus dengan syarikat penerbangan sebelum berangkat ke lapangan terbang.

"Penumpang yang merancang untuk ke destinasi Asia Barat yang terjejas harus mengambil perhatian bahawa gangguan tidak terhad kepada perkhidmatan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)," katanya pada Sabtu.

Menurut kenyataan itu, walaupun melalui titik transit alternatif di luar kawasan tersebut, perkhidmatan seterusnya ke destinasi terjejas mungkin digantung atau terhad.

Oleh itu katanya, pengembara dinasihatkan untuk menyemak status keseluruhan perjalanan mereka, termasuk sektor sambungan, sebelum membuat sebarang perancangan perjalanan.

"Komuniti lapangan terbang termasuk Malaysia Airports sebagai pengendali, syarikat penerbangan, pengendali darat, pengawal selia dan pihak berkepentingan lapangan terbang yang lain sedang bekerjasama rapat untuk memantau perkembangan.

"Pasukan lapangan terbang bersedia memberikan panduan dan berkoordinasi dengan syarikat penerbangan mengenai pengaturan yang diperlukan, serta memberikan bantuan kepada penumpang yang terjejas di terminal.

Artikel Berkaitan:

"Penumpang digalakkan memastikan maklumat hubungan mereka dikemas kini dengan syarikat penerbangan dan memantau saluran rasmi syarikat penerbangan dan lapangan terbang bagi mendapatkan maklumat terkini," katanya.

Katanya, maklumat mengenai hak penumpang, pengembara boleh merujuk kepada Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia di bawah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

"Nasihat perjalanan rasmi yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negeri Malaysia (Wisma Putra) juga harus dirujuk sebelum melakukan perjalanan. Keselamatan kekal sebagai keutamaan tertinggi.

"Penumpang dinasihatkan untuk merancang lebih awal dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini," katanya.

 

 

 

Ringkasan AI

  • Penumpang dinasihatkan menyemak status penerbangan terkini dengan syarikat penerbangan sebelum ke lapangan terbang
  • Sekatan ruang udara di beberapa kawasan Timur Tengah boleh menyebabkan kelewatan, laluan semula, atau pembatalan penerbangan
  • Perkhidmatan penerbangan masih beroperasi tetapi jadual dan laluan boleh disemak semula pada bila-bila masa
  • Gangguan perkhidmatan tidak terhad kepada penerbangan terus dari KLIA, boleh melibatkan titik transit alternatif
  • Penumpang digalakkan memastikan maklumat hubungan dikemas kini dan memantau saluran rasmi untuk maklumat terkini

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!