Malaysia gesa AS-Iran guna saluran diplomasi cari penyelesaian - Anwar

KUALA LUMPUR - Malaysia menggesa Amerika Syarikat (AS) dan Iran menggunakan saluran diplomasi untuk cari penyelesaian dan bukannya terus meningkatkan ketegangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyeru masyarakat antarabangsa supaya bertindak segera tanpa mengamalkan sikap dwistandard.
Beliau menegaskan, penghentian permusuhan dengan serta-merta dan tanpa sebarang syarat adalah amat mustahak.
"Serangan Israel ke atas Iran dan tindakan ketenteraan AS yang mengiringinya, boleh menjerumuskan Timur Tengah ke ambang malapetaka.
"Tindakan Israel yang memulakan serangan itu adalah cubaan keji untuk menggagalkan rundingan yang sedang berlangsung dan mengheret negara lain ke dalam konflik yang mungkin mustahil untuk dibendung,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Perdana Menteri turut melahirkan kebimbangkan terhadap keselamatan rakyat Malaysia di Iran dan negara lain di rantau berkenaan, sekali gus menyatakan kerajaan akan berhubung dengan rakan serantau bagi menyelaraskan tindakan susulan.
Ketegangan di Timur Tengah meningkat apabila AS dan Israel melancarkan serangan pada Sabtu, dengan Israel menyifatkannya sebagai "serangan awal” terhadap musuh ketatnya bagi "menghapuskan ancaman”.
Serangan itu berlaku selepas AS meningkatkan kehadiran ketenteraannya secara besar-besaran di rantau berkenaan bagi memberi tekanan kepada Tehran supaya mengurangkan program nuklearnya, serta susulan tindakan keras di Iran terhadap protes besar-besaran. - Bernama
Ringkasan AI
- Malaysia menggesa AS dan Iran guna diplomasi, bukannya meningkatkan ketegangan
- Anwar Ibrahim seru tindakan segera masyarakat antarabangsa tanpa dwistandard
- Penghentian permusuhan serta-merta tanpa syarat penting
- Serangan Israel dan tindakan ketenteraan AS boleh malapetakan Timur Tengah
- Ketegangan Timur Tengah meningkat selepas serangan AS dan Israel
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
