Dakwaan Pulau Pinang milik Kedah tidak berasas - Ramkarpal

Ramkarpal Sigh
Ramkarpal Sigh
A
A
A

SHAH ALAM - Dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Pulau Pinang adalah kepunyaan Kedah disifatkan tidak berasas.

Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Ramkarpal Sigh berkata, perkara berkenaan sepatutnya tidak menjadi isu kerana ia sudah jelas sejak zaman penjajahan British lagi Pulau Pinang telah diiktiraf sebagai salah satu Negeri Selat di bawah gabungan yang dikenali sebagai 'Straits Settlements'.

"Susulan daripada ini, beberapa perjanjian yang ditandatangani di antara Kedah dan British telahpun dengan jelasnya mengiktiraf Pulau Pinang dan Province Wellesley (mainland Penang) sebagai sebuah negeri yang berdaulat.

“Perjanjian berkenaan termaktub dalam beberapa perjanjian antaranya Agreement neetween His Britannic Majesty’s Government and the State of Kedah, 1923; The Federation of Malaya Agreement 1948; dan The Federation of Malaya Agreement 1957,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Jelasnya, berdasarkan The Federation of Malaya Agreement 1957, ia amat jelas menyatakan Pulau Pinang sudah dijadikan sebahagian daripada Persekutuan Malaya sebagai sebuah negeri yang berasingan daripada Kedah.

"Pembentukan Persekutuan Malaya itu berdasarkan Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957 dan tidak boleh dinafikan bahawa Pulau Pinang diiktirafkan sebagai salah satu negeri di bawah Persekutuan Malaya, iaitu di bawah Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

"Selain itu, Perkara 71(1) Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan juga menjamin bahawa setiap negeri mempunyai Perlembagaan Negeri masing-masing yang memperuntukkan cara pengendalian Kerajaan Negeri, termasuk Pulau Pinang,” kata Ram Karpal.

Ujarnya lagi, adalah jelas bahawa Pulau Pinang merupakan negeri yang berdaulat dalam Persekutuan Malaysia dan keabsahannya tidak boleh dipertikaikan.

“Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi negara dan seharusnya dihormati oleh semua lapisan masyarakat,” tegasnya.

Sanusi sebelum ini mendakwa Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah.

Menurutnya, ini kerana Kedah hanya mempunyai sempadan negeri dengan Perak dan Perlis sahaja.