Pulau Pinang milik Kedah: Mahfuz saran Sanusi tuntut di mahkamah

Mahfuz
Mahfuz
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor disaran agar memfailkan tuntutan terhadap Pulau Pinang di mahkamah sekiranya serius mahu menuntut kembali negeri jiran itu.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau tidak sewajarnya sekadar mengeluarkan kenyataan kontroversi kerana perbuatan tersebut boleh mencetuskan suasana tidak harmoni.

Menurutnya, sekiranya Muhammad Sanusi tidak berhasrat untuk ‘memiliki’ Pulau Pinang, beliau dinasihatkan agar menghentikan segera kenyataan berbaur hasutan mahupun yang menyentuh sensitiviti masyarakat.

“Muhammad Sanusi harus failkan tuntutan ke mahkamah untuk tuntut semula Pulau Pinang, khususnya Seberang Perai kembali kepada Kedah. Ini kerana beliau dakwa tidak ada sempadan negeri di tanah besar, mungkin sempadannya hanya di sebelah pulau,” katanya selepas meninjau reruai Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sempena Hari Peladang Penternak dan Nelayan peringkat Negeri Kedah (HPPNK) di sini, pada Sabtu.

Beliau turut meminta Muhammad Sanusi membuktikan dakwaannya bahawa Pulau Pinang milik Kedah kerana tindakannya itu hanya mengundang ketegangan.

“Jangan hanya bercakap seolah-olah nak jadi hero, nak lawan dengan Cina dan sebagainya. Ia sangat tidak harmoni. Serah bukti kepada mahkamah untuk tunjukkan Pulau Pinang milik Kedah,” jelasnya.

Tambahnya lagi, Muhammad Sanusi tidak boleh hanya bersandarkan kepada sejarah semata-mata sebaliknya harus merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Kalau berpegang kepada sejarah, memang sampai ke Segenting Kera pun hak Kedah. Tak kan beliau mahu tuntut balik dan Perlis perlu serah semula. Tak kan kita nak langgar Siam?

“Muhammad Sanusi cuba bina persepsi negatif kepada negara luar akan berlaku ketegangan antara Kedah dengan Thailand kalau berterusan mahu tuntut sejarah. Kalau rujuk sejarah, Kedah mempunyai keluasan sampai ke Segenting Kera,” ujarnya lagi.

Tegasnya, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu harus menerima hakikat bahawa fakta tersebut merupakan sejarah dan perlu akur pada perlembagaan negara.

“Kalau dakwa Pulau Pinang itu hak Kedah, pergilah kutip cukai selepas Jambatan Merdeka. Pergilah kutip hasil tanah kalau berani.

“Muhammad Sanusi perlu hentikan ucapan seperti itu yang boleh mengeruhkan hubungan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mahfuz percaya isu berkenaan tidak akan mengeruhkan hubungan antara rakyat Kedah dengan rakyat Pulau Pinang.

“Rakyat Pulau Pinang pun tahu menilai, rakyat dengan rakyat (dua negeri ini) tak kan bermusuh sebab mereka tahu ini isu politik yang sengaja digembar-gemburkan,” ujarnya.

Pada Isnin, Muhammad Sanusi menegaskan bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah dan negeri itu hanya mempunyai sempadan negeri dengan Perak dan Perlis sahaja.

Beliau mendakwa, pihaknya tidak perlu mengambil kembali negeri itu kerana Pulau Pinang tidak pernah 'terlepas' dari Kedah.