Pulau Pinang milik Kedah: Sanusi sengaja cetus kontroversi

Shaiful Hazizy
Shaiful Hazizy
A
A
A

ALOR SETAR - Kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa Pulau Pinang milik Kedah dan tidak mempunyai sempadan dengan negeri jiran itu disifatkan sebagai ketandusan isu dalam meraih publisiti politik murahan untuk kepentingan peribadinya.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, pendirian Muhammad Sanusi itu bukan sahaja memberi gambaran beliau tidak merujuk kepada perlembagaan, malah tidak mengiktiraf Pulau Pinang sebagai sebuah negeri.

Menurutnya, kedudukan Pulau Pinang sebagai negeri berdaulat diperakui dengan berkuatkuasa Perlembagaan Persekutuan pada 1957.

“Perkara tersebut dihuraikan dalam Perlembagaan Persekutuan secara khusus dalam Fasal 2, Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan. Ia berhubung status perundangan negeri-negeri yang bernaung bawah Kerajaan Persekutuan.

“Sebagai Menteri Besar, beliau harus memahami Perlembagaan Persekutuan dan menghormati pengiktirafan terhadap negeri jiran itu, biarpun berbeza ideologi politik,” katanya di sini pada Jumaat.

Beliau turut menyifatkan tindakan Muhammad Sanusi itu kemungkinan antara usaha untuk menyembunyikan kelemahan pentadbiran beliau yang dilihat tidak menyumbang dalam agenda pembangunan negeri.

“Prestasi beliau dibayangi pelbagai masalah yang gagal diselesaikan. Sebab itu, Muhammad Sanusi sengaja mengalih perhatian rakyat Kedah dengan mencetuskan kontroversi melalui kenyataan berunsur semangat kenegerian, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Beliau sebenarnya miskin idea dan hanya meneruskan dasar-dasar dua kerajaan terdahulu yang diwarisinya. Contohnya, beliau dakwa berjaya menarik pelabur sedangkan hanya ‘menuai’ misi pelaburan yang diusahakan dua kerajaan terdahulu,” jelasnya.

Tambahnya, projek-projek mega yang beliau teruskan juga merupakan usaha kerajaan negeri terdahulu termasuk kerajaan Persekutuan.

“Muhammad Sanusi hanya popular sebagai Menteri Besar Kedah yang lantang bersuara. Prestasi beliau sebagai Menteri Besar sebenarnya belum teruji kerana ‘diselamatkan’ oleh perancangan kerajaan terdahulu yang bersifat jangka panjang, antaranya menaik taraf lima Loji Rawatan Air, Kulim International Airport (KXP), Kedah Rubber City, Special Border Economic Zone (SBEZ) serta Kedah Science and Technology Park,” ujarnya.

Sehubungan itu, Shaiful Hazizy mempersoalkan tindakan yang akan diambil oleh Muhammad Sanusi seterusnya setelah beliau memperolehi kedapatan hasil daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

“Nak tuntut Pulau Pinang? Hakikatnya tindakan ini bakal mengundang malapetaka perlembagaan yang sangat besar malah tidak akan menguntungkan mana-mana pihak.

“Diharap rakyat boleh menilai dan membezakan antara tindakan ‘pemimpin sarkas politik’ dengan pemimpin yang benar-benar serius berkhidmat untuk rakyat,” tegasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!