3 saksi utama pendakwaan kes VLN tak boleh dipercayai: Hakim

Ahmad Zahid berucap di luar Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas dibebaskan atas 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN). - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
Ahmad Zahid berucap di luar Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas dibebaskan atas 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN). - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dibebaskan kerana Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat mendapati keterangan tiga saksi utama yang mendakwa menawarkan wang rasuah kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu, adalah tidak boleh dipercayai.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa berkata, saksi pendakwaan ke-17 (SP-17), bekas Pengarah Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), David Tan Siong Sun mengakui ada membuat sebuah lejar yang mengandungi butiran pembayaran oleh UKSB kepada beberapa individu termasuk Ahmad Zahid, antara 2014 hingga 2018.

Ketika membaca keputusan penghakiman setebal 100 muka surat, Mohd Yazid berkata, Siong Sun menyatakan setiap kali membuat bayaran, dia akan merekodkan pembayaran pada hari sama atau berikutnya.

“Namun, lejar yang ditunjukkan dalam kebanyakan ruangan catatan telah dibiarkan kosong,” katanya.

Selain itu, seorang lagi saksi utama, SP-15, yang juga bekas Pengarah UKSB, Harry Lee Vui Khiun bersetuju bahawa ruangan catatan yang kosong itu, tidak menunjukkan bahawa wang telah dibayar kepada tertuduh.

Tanpa bukti yang kukuh, Mohd Yazid berkata, mahkamah tidak boleh membuat penemuan bahawa wang itu telah diterima oleh Ahmad Zahid.

Malah beliau berkata, keterangan mengenai penyerahan kedua wang tunai RM3 juta melalui sebuah bagasi, adalah suatu keterangan yang difikirkan kemudian.

Katanya, pengakuan saksi utama pendakwaan itu sudah mencukupi untuk mahkamah memutuskan bahawa beliau adalah seorang saksi yang langsung tidak berwibawa.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, ada kemungkinan bahawa wang suapan yang kononnya telah dibayar kepada Ahmad Zahid diagihkan kepada Siong Sun, Vui Khiun dan seorang lagi bekas pengarah syarikat itu, SP-16, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani.

Menurutnya, ia dilihat menerusi gaya hidup mereka yang mewah, iaitu setiap seorang memiliki seunit hartanah di Pavilion.

Katanya, SP-16 dilaporkan memiliki seunit banglo di Putrajaya, seunit kediaman di Cyberjaya, dua Range Rover serta motosikal mewah serta membayar cukai berjuta-juta ringgit.

“Tanpa sokongan yang kukuh, mahkamah tidak boleh membuat penemuan bahawa wang itu diterima oleh tertuduh seperti yang dicadangkan oleh pendakwaan.

“Ia berdasarkan transaksi yang direkodkan dalam lejar (tanpa bukti rekod) melalui tanda nota ‘Z’ dan ‘ZH’,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Yazid berkata, pendakwaan gagal membuktikan elemen penting dalam pertuduhan rasuah itu.

Berdasarkan semua bukti yang dikemukakan oleh pendakwaan, beliau berkata, tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) diberikan kepada mahkamah.

Malah katanya, pendakwaan tidak memanggil pemandu kepada tiga saksi utama itu, pengawal di kediaman Ahmad Zahid di Sri Satria dan Country Heights untuk memberi keterangan.

Bukan itu sahaja, beliau berkata, pendakwaan gagal mengemukakan bukti slip transaksi ‘Touch and Go’, log panggilan telefon dan mesej antara saksi dengan tertuduh.