Ahmad Zahid beri pelaburan RM10 juta, bukan pinjaman - Datuk K

Khalid (kiri) hadir di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, untuk memberi keterangan sebagai saksi bagi kes rasuah melibatkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto Bernama
Khalid (kiri) hadir di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, untuk memberi keterangan sebagai saksi bagi kes rasuah melibatkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bahawa dana RM10 juta daripada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada ahli perniagaan, Datuk Wasi Khan bukan berbentuk pinjaman, sebaliknya pelaburan.

Saksi pembelaan kelapan, Khalid, 64, yang lebih dikenali sebagai Datuk K, berkata demikian ketika prosiding bela diri kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi membabitkan Timbalan Perdana Menteri itu.

Suami penyanyi terkenal tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin itu berkata, Ahmad Zahid membantu menyediakan dana berkenaan kepada syarikat Armada Holdings Sdn Bhd untuk membida tender pembekal arang batu kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menurutnya, sekitar tahun 2015, Wasi Khan @ Wasiyu Zama Israr bertemu dengannya dengan menyatakan hasrat untuk menubuhkan satu syarikat pembekalan arang batu di Indonesia.

“Syarikat berkenaan memerlukan modal berbayar RM10 juta untuk memenuhi syarat minimum sebagai syarikat pembekal atau kontraktor di bawah TNB.

“Beliau telah menyatakan hasrat supaya Ahmad Zahid campur tangan dan meminta TNB mengurangkan jumlah modal berbayar kepada RM5 juta sahaja,” katanya ketika membaca pernyataan saksinya di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan).

Bagaimanapun, Khalid berkata, Presiden UMNO ini tidak berbuat demikian kerana campur tangan dalam urusan dan polisi yang telah ditetapkan oleh TNB merupakan satu kesalahan.

Khalid berkata, pada akhir perbincangan, Ahmad Zahid bersetuju untuk terlibat dengan membantu menyediakan dana sebanyak RM10 juta sebagai dana pelaburan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, tujuan asal pertemuan itu bukannya untuk meminta wang tetapi Ahmad Zahid dengan rela hati tanpa diminta, menyatakan untuk melabur.

Ketika soal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, saksi tersebut berkata, pelaburan jutaan ringgit itu bukan berbentuk dakwaan kerana ia semenangnya digunakan untuk melayakkan syarikat dalam tender tersebut.

Mohd Dusuki: Jumlah RM10 juta ialah amaun yang banyak, setuju dengan cadangan saya?

Khalid: Ya banyak, sebab jumlah itu yang kita tiada.

Mohd Dusuki: Seeloknya Datuk Seri pinjam sahaja daripada bank, bukan daripada tertuduh.

Khalid: Saya sebagai bekas kakitangan bank merasakan, mereka (pihak bank) tidak akan beri pinjaman jika melibatkan isu tersebut.

Mohd Dusuki: Bagaimana Datuk Seri tahu, yang tertuduh ada RM10 juta?

Khalid: Pertamanya, beliau merupakan ahli korporat, usahawan dan bekas ahli perbankan. RM10 juta bagi saya cukup banyak, tetapi bukan pada Datuk Seri Ahmad Zahid.

Mohd Dusuki: Datuk Seri tahu RM10 juta itu daripada sumber mana?

Khalid: Saya tidak tanya.

Khalid memberikan keterangan bagi Ahmad Zahid, 70, yang dibicarakan dengan 47 pertuduhan iaitu lapan tuduhan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Bagi tuduhan pecah amanah, pemimpin UMNO itu didakwa sebagai ejen iaitu Pemegang Amanah Yayasan Akalbudi dan dalam kapasiti itu diamanahkan dengan wang RM10 juta, melakukan pecah amanah iaitu dengan curangnya memberi pinjaman kepada Armada Holdings.

Perbicaraan bersambung 2.30 petang.