'Polis cemburu saya popular' - Inspektor Shiela

GOMBAK – “Inspektor Shiela akan menjadi lebih ‘famous’ (popular) dalam kalangan rakyat Malaysia. Terima kasih kerana sudi menahan saya pada hari yang mulia ini, iaitu Hari Thaipusam.”
Itu luahan seorang wanita yang menggelarkan dirinya sebagai Inspektor Shiela dalam video tular ketika ditahan polis kerana disyaki menimbulkan kekecohan serta bertengkar dengan peniaga di Batu Caves.
Menerusi beberapa video yang dimuat naik di media sosial, ‘Inspektor Shiela’ yang memakai baju dan seluar pendek berwarna hitam kelihatan digari oleh dua anggota polis wanita.
Sebelum itu, berdasarkan beberapa hantaran pengguna lain di media sosial, wanita berkenaan dipercayai bertindak provokatif terhadap orang awam di sekitar kuil berkenaan dengan didakwa meminta mereka menunjukkan kad pengenalan.
Dalam sebuah lagi video yang mencuri perhatian orang ramai, ‘Inspektor Shiela’ dilihat sempat memberikan ‘ucapan’ kepada orang awam di kawasan tersebut selepas digari polis.
“Kalau saya tidak popular, kalau perkara ini tidak masuk berita dan saya tidak meraih populariti, anda tunggu dan lihat.
"Pihak polis sememangnya cemburu kerana saya memang popular dalam kalangan pihak media dan rakyat Malaysia,” katanya dengan nada lantang.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, tangkapan itu dibuat oleh anggota polis yang bertugas di sekitar Batu Caves sempena sambutan Thaipusam.
Menurutnya, seorang wanita yang dikenali sebagai Sheila telah ditahan susulan berlaku insiden di luar jangka yang berpotensi menimbulkan kekecohan awam.
Mohd Khalid berkata, penahanan tersebut dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Ringkasan AI
- Inspektor Shiela ditahan polis kerana disyaki menimbulkan kekecohan di Batu Caves
- Wanita itu memakai baju dan seluar pendek berwarna hitam semasa ditahan
- Dia didakwa bertindak provokatif terhadap orang awam dengan meminta mereka menunjukkan kad pengenalan
- 'Inspektor Shiela' sempat berucap kepada orang awam selepas digari polis, menyatakan dia akan menjadi lebih terkenal
- Penahanan dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
