[VIDEO] Rasuah VLN: Ahmad Zahid bebas 40 pertuduhan

A
A
A

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat atas 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Ini bermakna Ahmad Zahid dibebaskan daripada pertuduhan itu dan tidak akan dipanggil untuk membela diri.

Presiden UMNO yang hadir dengan memakai baju Melayu berwarna putih krim kelihatan ceria selepas mendengar keputusan tersebut.

Hadirin yang berada di galeri awam bangun dan menepuk tangan sebelum ditegur oleh hakim tersebut.

Dalam kes ini, pasukan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob, Zander Lim Wai Keong dan B Thavani.

Sementara pasukan pembelaan dibarisi peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh.*

**media[1919567]*

Pada Jun 2019, Ahmad Zahid didakwa di Mahkamah Sesyen atas 40 pertuduhan menerima rasuah daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Artikel Berkaitan:

Ia membabitkan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem VLN serta bagi mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi kes itu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika didapati bersalah, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Beliau juga berdepan 33 pertuduhan pilihan iaitu sebagai Menteri Dalam Negeri menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta berhubung sistem VLN.

Peruntukan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1.15 juta; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Kesemua perbuatan didakwa dilakukan di dua lokasi iaitu Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 hingga Mac 2018.

Mahkamah membenarkan Ahmad Zahid dibebaskan atas ikat jamin sebanyak RM800,000 dengan seorang penjamin, bagi kesemua pertuduhan.