7 Ahli Parlimen BN kosongkan kerusi hanya khabar angin - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid ketika merasmikan Majlis Penutupan Madani Ride PDRM dan Ipoh Super Biker’s Club (ISBC) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Isnin. - Foto Sinar Harian/RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Ahmad Zahid ketika merasmikan Majlis Penutupan Madani Ride PDRM dan Ipoh Super Biker’s Club (ISBC) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Isnin. - Foto Sinar Harian/RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan mandat dan watikah yang diberi sebagai ahli Parlimen adalah untuk mewakili parti, bukan untuk diri sendiri.

Menurutnya, perkara itu telah ditandatangani oleh mereka dalam aku janji dan juga dokumen yang dimeterai di hadapannya.

Justeru beliau menyifatkan dakwaan tujuh Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan mengosongkan kerusi sebagai khabar angin berikutan mereka terikat dengan aku janji tersebut.

"Itu hanya khabar angin dan yang paling penting kita tunggu sehingga akhir penggal.

"Kalau mahu lakukan tindakan politik, sebaliknya kita harus melihat bahawa mandat dan watikah itu diberikan kepada mereka untuk mewakili parti dan bukan untuk diri sendiri," katanya selepas Majlis Penutupan Madani Ride Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Ipoh Super Biker’s Club (ISBC) sempena Hari Peringatan Polis ke-216 dan Bulan Kemerdekaan 2023 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Isnin.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, sebarang tindakan yang ingin dilakukan perlu menunggu sehingga akhir penggal.

"Kalau mahu ambil tindakan pada hemat mereka untuk kepentingan diri sendiri, saya fikir eloklah mereka tunggu akhir penggal," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dalam satu rakaman video mendakwa terdapat tujuh Ahli Parlimen BN akan mengosongkan kerusi mereka.

Daripada jumlah itu, empat ialah di Johor, Sabah (1), Pahang (1) dan satu di sebuah negeri di utara tanah air.