Beri teguran jangan sampai maklumat bocor

Ahmad Faizal (tiga, kiri) dan isteri, Datin Seri Nomee Ashikin Mohammed Radzi (kiri) menanam pokok berembang sempena Program Lestari Komuniti dan Alam Sekitar Kampung Dew, hari ini.
Ahmad Faizal (tiga, kiri) dan isteri, Datin Seri Nomee Ashikin Mohammed Radzi (kiri) menanam pokok berembang sempena Program Lestari Komuniti dan Alam Sekitar Kampung Dew, hari ini.
A
A
A

TAIPING – Rakyat negeri ini diminta untuk menegur pentadbiran Kerajaan Perak secara terus menerusi jabatan dan agensi terlibat, bukannya disebarkan sewenangnya melalui media.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, langkah itu bukan sahaja bagi mengelak rasa tidak senang kalangan rakyat, tetapi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil ke atas pihak berkenaan.

“Hari ini bila baca dalam surat khabar, saya jadi susah hati, dilaporkan ada penguat kuasa mungkar, ambil duit kononnya sampai RM30,000 dan membiarkan pembalakan haram berlaku.

“Tetapi bila dah keluar dalam surat khabar, maklumat sudah tersebar dan orang sudah tahu, sudah pasti mereka yang terlibat menghentikan kegiatan mereka, rakyat pula melihat kerajaan tidak mengambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Lestari Komuniti dan Alam Sekitar Kampung Dew di sini, hari ini.

Menurutnya, dalam sesetengah kes, maklumat yang disebarkan itu boleh mengganggu siasatan dan tindakan selanjutnya dilakukan.

“Ia satu kerugian sedangkan jika dimaklumkan lebih awal kepada saya, polis atau Jabatan Perhutanan, dapatlah kami siasat dan lakukan tangkapan,” katanya.

Ahmad Faizal mengakui, isu seperti pembakalan atau perkara yang merosakkan alam sekitar penting diketahui umum, namun ia perlu dilakukan dengan saluran betul dan bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan:

“Saya gembira rakyat menegur kerajaan mengenai salah sana sini kerana sebagai menteri besar, saya tak boleh nak kenal hati budi setiap orang sama ada orang itu nak merompak atau merosakkan negeri kita,” katanya.

Menurutnya, kerajaan Perak komited untuk bekerjasama dengan semua pihak supaya usaha menjaga pentadbiran dapat diperkemas dan perkhidmatan kepada rakyat dapat diperbaiki tanpa ada penjawat awam melakukan kesalahan.

“Jadi saya merayu kepada semua termasuklah media bersama bantu kerajaan memastikan perkara seperti ini tidak berlaku lagi. Penting bagi masyarakat buka mata dan cepat-cepat buat laporan, jika bukan kepada saya boleh terus kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Pejabat Daerah atau pihak berkuasa lain,” katanya.

Laporan sebuah akhbar tempatan hari ini mendakwa, terdapat amalan memberi habuan kepada segelintir penguat kuasa bagi tujuan pembalakan di Perak.

Upah sebanyak RM30,000 itu bagi memudahkan operasi pembakalan dijalankan khususnya dalam mengenal pasti pokok bernilai tinggi.