Majistret beri teguran jangan permainkan laporan polis

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah kepada isteri dengan niat untuk menyebabkan ketakutan.
Tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah kepada isteri dengan niat untuk menyebabkan ketakutan.
A
A
A

IPOH - "Saya ingatkan kamu, laporan polis bukan sesuatu yang main-main untuk sengaja mengugut tertuduh," demikian peringatan diberikan Majistret Ipoh pada Selasa.

Majistret Jesseca Daimis membuat teguran itu selepas mendengar rayuan seorang wanita, S Premlata, 36, membabitkan pertuduhan ugutan jenayah terhadap suaminya, G Ganesan, 38.

Dalam prosiding itu, Premlata memaklumkan kepada mahkamah mahu menarik semula laporan polis kerana memikirkan nasib anak-anak.

"Polis bukan tempat untuk kamu suka-suka hati untuk tengok dia (tertuduh) menyesal, untuk tengok dia dengar cakap atau tidak. Jenayah tetap jenayah dan ugutan juga adalah jenayah," tegur Jesseca.

Mengikut pertuduhan, Ganesan yang tidak bekerja didakwa telah melakukan ugutan jenayah kepada Premlata dengan niat untuk menyebabkan ketakutan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Idaman Chemor dalam daerah Kinta sekitar jam 7.30 petang pada 7 Ogos 2023.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bapa dua anak berusia empat dan tujuh tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dibacakan.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Nabilah Norzam memohon tiada jaminan ditawarkan, namun tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nor Izawani Ahmad Jalaludin meminta jumlah jaminan minimum atas alasan tertuduh tidak lagi bekerja selepas terlibat kemalangan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh sebelum ini ditahan selepas polis menerima laporan daripada isterinya mendakwa cuba dipukul menggunakan topi keledar dan diugut untuk membakar rumah serta kenderaan.

Berdasarkan laporan, punca perselisihan faham itu berlaku selepas lelaki berkenaan mengesyaki isterinya menjalin hubungan lelaki lain.