'Jangan sampai orang kata PM umum, tapi apa pun tak ada'

Anwar (tiga dari kanan) ketika hadir pada program lawatan kerja bersama Masyarakat Orang Asli Kampung Tonggang Ulu Kinta pada Khamis. - Foto Bernama
Anwar (tiga dari kanan) ketika hadir pada program lawatan kerja bersama Masyarakat Orang Asli Kampung Tonggang Ulu Kinta pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua pihak mengambil tindakan segera terhadap projek prasarana yang diluluskan di Kampung Tonggang dekat Ulu Kinta di sini.

Beliau berkata, kerajaan telah memberi perhatian kepada masyarakat di kawasan itu dalam pelbagai aspek termasuklah pendidikan dan jaringan internet yang masih lemah.

Menurutnya, di bawah projek Jalinan Digital Negara (Jendela), pihaknya meluluskan pemasangan perkhidmatan internet satelit Starlink bagi membantu 435 penduduknya mendapatkan kemudahan internet stabil.

"Saya akan cakap dengan Menteri Komunikasi dan Digital (Fahmi Fadzil) supaya bawa satu (unit Starlink) ke sini.

Jadi pelajar, guru dan anak muda boleh manfaatkan rangkaian internet ini.

"Rakyat yang susah, kawasan pedalaman, Orang Asli itu perlu perhatian yang lebih daripada kerajaan, sebab itu perlu kemudahan jalan, elektrik, air, sekolah dan beberapa kemudahan asas lain," katanya.

Beliau berkata demikian sempena lawatan kerja ke Kampung Orang Asli Kampung Sungai Tonggang pada Khamis yang turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Menyentuh aspek pendidikan, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan RM400,000 untuk pembinaan blok bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tanjung, Kampung Tonggang.

Katanya, bajet berkenaan dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan dalam peringkat menunggu kelulusan tanah.

Artikel Berkaitan:

"Saya sudah panggil Pengarah Jabatan Pendidikan negeri dan sebaik sahaja kelulusan diperolehi, saya tak mahu (projek pembinaan) tangguh, tahun ini juga mesti disiapkan.

"Saya tak mahu nanti orang Kampung Sungai Tonggang kata saya umum, tetapi apa pun tak ada," katanya.

Menteri Kewangan itu turut mengumumkan kelulusan tambahan peruntukan bagi menambah baik jalan raya ke kampung itu yang memerlukan pembaikan segera melalui Pejabat Daerah dan Tanah Kinta.

"Bagi saya beberapa minggu ini. Kalau tak diturap, (sekurang-kurangnya) dibaiki jalan yang berlubang itu supaya selesa orang datang," katanya.

Dalam lawatan itu, Anwar turut meninjau projek eko pelancongan yang dibangunkan Yayasan Hasanah dengan kerjasama Koperasi Orang Asli Kampung Sungai Tonggang.

Pusat pelancongan Kayuh D' Tonggang itu antara lain memberi peluang pekerjaan dan menjana pendapatan tambahan kepada golongan belia orang asli di kampung berkenaan.