Warga emas ditikam anak: Jiran dengar jeritan minta pintu rumah dibuka menjelang berbuka

KUALA PILAH - Jeritan seorang lelaki menjelang waktu berbuka yang meminta supaya pintu rumah wanita warga emas yang dipercayai ditikam anak perempuannya di Kampung Seginyeh, Johol, di sini dibuka telah mengejutkan penduduk setempat.
Suasana bertukar kecoh apabila beberapa penduduk bergegas ke rumah terbabit bagi mengetahui apa yang berlaku.
Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, sebelum kejadian, dia tidak mendengar sebarang bunyi pergaduhan dari rumah berkenaan.
“Tapi tengah nak tunggu waktu berbuka itu, saya pelik bila terdengar suara lelaki menjerit sambil mengetuk pintu rumah mangsa.
“Ketika itu, saya tidak mengesyaki apa-apa dan tidak lama kemudian, saya nampak lelaki berkenaan cuba menenangkan suspek,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.
Menurutnya, dia mengenali suspek dan tidak menyangka wanita itu akan bertindak sedemikian kerana berperwatakan baik, suka membantu serta tidak pernah meninggikan suara.
Tambahnya, dia pernah dimaklumkan bahawa suspek mempunyai masalah kesihatan dan baru sahaja tinggal bersama ibunya di situ.
“Kejadian ini sangat mengejutkan penduduk kampung kerana kebanyakannya mengenali suspek dan ibunya.
“Memang setiap manusia akan menemui ajal, tetapi kejadian seperti ini benar-benar mengejutkan penduduk,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan seorang wanita warga emas cedera dipercayai ditikam anak perempuannya pada bahagian leher menggunakan pembuka tin dalam kejadian kira-kira jam 7 malam.
Ringkasan AI
- Jeritan seorang lelaki menjelang waktu berbuka di Kampung Seginyeh, Johol, yang meminta pintu rumah dibuka mengejutkan penduduk setempat
- Suasana bertukar kecoh apabila penduduk bergegas ke rumah tersebut untuk mengetahui apa yang berlaku
- Seorang penduduk mendengar suara lelaki tersebut tanpa mendengar bunyi pergaduhan sebelumnya
- Suspek, yang dikenali memiliki perwatakan baik, didapati mempunyai masalah kesihatan dan baru sahaja tinggal bersama ibunya
- Wanita warga emas cedera dipercayai ditikam anak perempuannya pada bahagian leher dengan pembuka tin
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

