Trump beri tempoh 10 hari kepada negara peserta Piala Dunia

Kenyataan terbaharu Trump dilihat mengancam penyertaan Iran di Piala Dunia 2026 yang berlangsung di AS, Mexico dan Kanada. FOTO: Agensi
Kenyataan terbaharu Trump dilihat mengancam penyertaan Iran di Piala Dunia 2026 yang berlangsung di AS, Mexico dan Kanada. FOTO: Agensi
A
A
A

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menarik perhatian antarabangsa apabila menyatakan sebuah negara peserta Piala Dunia akan mengetahui dalam tempoh kira-kira 10 hari sama ada ia akan berdepan tindakan ketenteraan.

Menjelang penganjuran Piala Dunia FIFA 2026 yang bakal berlangsung di AS, Kanada dan Mexico, kejohanan itu dijangka menjadi tumpuan global dengan kehadiran pemain terbaik dari seluruh pelusuk dunia.

Secara tradisi, Piala Dunia sering berperanan sebagai medan penyatuan antara negara, penyokong dan pemain, walaupun berdepan perbezaan latar politik global.

Namun, menjelang edisi 2026, kebimbangan timbul susulan dasar luar AS yang dilihat semakin tegang.

Sejak awal 2026, Trump terlibat dalam pertikaman kenyataan dengan kepimpinan Iran selepas tercetusnya protes besar-besaran di negara itu pada akhir Disember lalu akibat keadaan ekonomi yang semakin meruncing.

Tindakan keras pasukan keselamatan Iran terhadap penunjuk perasaan dilaporkan mengorbankan ribuan nyawa, dengan Agensi Berita Aktivis Hak Asasi Manusia (HRANA) menyatakan seramai 7,015 orang terbunuh manakala lebih 53,000 lagi ditahan sepanjang tempoh pergolakan.

Pada Januari, Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei menyalahkan AS atas kematian yang berlaku.

Trump pula dilaporkan menggesa rakyat Iran meneruskan bantahan sebelum mendakwa bahawa “bantuan sedang dalam perjalanan”.

Iran turut tersenarai dalam senarai larangan perjalanan pentadbiran Trump, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penyokong yang merancang untuk menghadiri Piala Dunia 2026.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, seorang pegawai Jabatan Negara AS sebelum ini menjelaskan bahawa larangan berkenaan hanya melibatkan visa imigresen dan tidak terpakai kepada visa pelancong, atlet, ahli keluarga serta petugas media yang akan hadir untuk Piala Dunia.

Dalam perkembangan berkaitan, Trump terus memberi tekanan kepada Iran supaya mencapai persetujuan berhubung program nuklear negara itu.

Iran menegaskan program tersebut bersifat aman dan tidak bertujuan membangunkan senjata nuklear.

Sepanjang minggu lalu, AS dilaporkan menghantar aset ketenteraan ke Asia Barat, manakala rundingan antara wakil Amerika dan Iran dikatakan sedang berlangsung di Switzerland, menurut laporan BBC News.

Ketika berucap pada Jumaat, Trump berkata keputusan sama ada satu perjanjian dapat dicapai akan diketahui “dalam tempoh kira-kira 10 hari”.

“Kita mungkin perlu mengambil langkah seterusnya, atau mungkin tidak,” katanya.

Sebagai rekod, Iran menjadi pasukan keenam layak ke Piala Dunia 2026 dan kedua dari Asia selepas Jepun, namun status penyertaannya masih belum pasti.

Kemungkinan Iran digantung daripada kejohanan semakin meningkat akibat konflik dengan Israel dan AS yang menjadi tuan rumah bersama.

Ringkasan AI

  • Donald Trump menyatakan sebuah negara peserta Piala Dunia akan mengetahui tentang tindakan ketenteraan dalam masa 10 hari
  • Piala Dunia FIFA 2026 dijadualkan berlangsung di AS, Kanada dan Mexico
  • Kebimbangan timbul menjelang Piala Dunia 2026 berikutan dasar luar AS yang tegang
  • Iran mengalami protes besar-besaran dan kenyataan Trump mengundang risiko penangguhan atau penggantungan penyertaan mereka dalam Piala Dunia
  • Pertikaian AS-Iran termasuk isu nuklear dan larangan perjalanan yang mempengaruhi kehadiran di Piala Dunia 2026

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!