Paras empangan meningkat, operasi pembenihan awan berjaya

Saarani (tengah) menyampaikan apron kepada peniaga ketika mengadakan lawatan mesra ke Bazar Ramadan Pekarangan Stadium Perak di sini pada Khamis.
Saarani (tengah) menyampaikan apron kepada peniaga ketika mengadakan lawatan mesra ke Bazar Ramadan Pekarangan Stadium Perak di sini pada Khamis.
A
A
A

IPOH – Kerajaan Perak mengesahkan operasi pembenihan awan yang dilaksanakan di beberapa kawasan tadahan air utama negeri ini berjaya meningkatkan paras air yang berdepan penyusutan akibat cuaca.

Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad berkata, operasi pembenihan awan itu dibuat atas permintaan kerajaan negeri susulan penurunan paras air yang ketara sebelum ini.

Menurutnya, pembenihan awan dilaksanakan bagi mengatasi ketidakcukupan air di Empangan Bukit Merah, Empangan Temengor dan Empangan Chenderoh yang boleh menjejaskan keupayaan penjanaan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) selain sumber air bagi sektor pertanian.

"Jika air di tasik-tasik berkenaan berkurangan, TNB tidak dapat melepaskan air dan keadaan itu menyebabkan kekurangan air di kawasan hilir dari Kuala Kangsar hingga ke Teluk Intan.

"Ia turut menjejaskan muka sauk kendalian Lembaga Air Perak (LAP) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan mesra ke Bazar Ramadan Pekarangan Stadium Perak di sini pada Khamis.

Mengulas dakwaan bahawa hujan lebat berpunca daripada pembenihan awan, Saarani tidak menafikan operasi tersebut berjaya menghasilkan hujan di kawasan yang memerlukan.

Menurutnya, banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan termasuk di Manjoi baru-baru ini bukan berpunca daripada limpahan Sungai Perak sebaliknya disebabkan taburan hujan tinggi yang tidak dapat ditampung sistem perparitan sedia ada.

"Ini bukan banjir yang disebabkan oleh Sungai Perak kerana sungai itu kering. Banjir berlaku akibat hujan lebat dan perparitan tidak dapat menampung jumlah air yang banyak.

Artikel Berkaitan:

"Pada malam pertama kejadian, saya dimaklumkan 15 rumah terlibat. Setiap petang hujan turun dan ada ketika kita membuka Pusat Pemindahan Sementara (PPS), namun hanya untuk tempoh singkat kerana ia banjir kilat," katanya.

Mengenai kemungkinan operasi pembenihan awan diteruskan, Saarani berkata, ia bergantung kepada keadaan cuaca dan nasihat Jabatan Meteorologi Malaysia.

Media sebelum ini melaporkan beberapa operasi pembenihan awan akan dilaksanakan di tiga negeri iaitu Johor, Kedah dan Perak bermula 11 hingga 15 Februari lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, operasi pembenihan awan itu dibuat berikutan paras air beberapa empangan di negeri tersebut semakin menyusut disebabkan cuaca panas yang berterusan.

 

Ringkasan AI

  • Operasi pembenihan awan di Perak meningkatkan paras air di beberapa empangan utama
  • Operasi dilaksanakan atas permintaan kerajaan negeri akibat penurunan paras air
  • Tujuan utama untuk mengatasi ketidakcukupan air bagi penjanaan elektrik TNB dan sektor pertanian
  • Pembenihan awan berjaya menghasilkan hujan tetapi menyebabkan banjir kilat akibat sistem perparitan tidak mencukupi
  • Lanjutan operasi pembenihan awan bergantung kepada cuaca dan nasihat Jabatan Meteorologi Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!