Tiga tabung masjid dipecah 1 Ramadan

Rakaman CCTV menunjukkan dua individu sedang memecahkan tabung Masjid An-Nasriyah pada Khamis.
Rakaman CCTV menunjukkan dua individu sedang memecahkan tabung Masjid An-Nasriyah pada Khamis.
A
A
A

SITIAWAN – Tiga tabung Masjid An-Nasriyah, Jalan Raja Omar, Simpang Empat di sini dipecahkan dua individu tidak bertanggungjawab ketika umat Islam menyambut 1 Ramadan dalam kejadian yang dipercayai berlaku pada awal pagi Khamis.

Pengerusi Masjid An-Nasriyah, Mohd Helmi Arifin berkata, kejadian tersebut hanya disedari pegawai masjid ketika hadir untuk menunaikan solat Subuh selepas melihat pintu kaca gelangsar masjid pecah.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati tiga tabung di dalam ruang utama masjid tersebut telah diumpil dan wang di dalamnya turut diambil penjenayah berkenaan.

"Kejadian ini berlaku selepas malam pertama solat sunat Tarawih. Memang selepas solat kawasan masjid sunyi, tetapi pintu pagar semuanya bertutup rapat.

"Jumlah wang yang diambil dari tiga tabung rasanya tidak sampai RM1,000 kerana kita memang akan memeriksa semua tabung setiap hari. Laporan polis juga telah kita buat untuk tindakan lanjut," katanya pada Jumaat.

Pintu gelangsar masjid dipecahkan penjenayah terbabit sebelum mengumpil tabung Masjid An-Nasriyah pada Khamis.
Pintu gelangsar masjid dipecahkan penjenayah terbabit sebelum mengumpil tabung Masjid An-Nasriyah pada Khamis.

Mohd Helmi berkata, kejadian tersebut amat dikesali kerana berlaku pada bulan Ramadan walaupun kejadian seumpamanya pernah berlaku sebelum ini.

Katanya, sebagai langkah berjaga-jaga, pihak masjid akan mempertingkatkan keselamatan termasuk menggunakan khidmat pengawal keselamatan bagi mengelakkan kejadian berulang.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, polis juga telah datang ke masjid untuk membuat siasatan lanjut dan jawatankuasa masjid menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan seterusnya.

Dalam pada itu, di sebalik kejadian tersebut, aktiviti masjid tetap berjalan seperti dirancang sepanjang Ramadan termasuk program Ihya Ramadan dan sebagainya.

Sehubungan itu, Mohd Helmi turut mengalu-alukan sumbangan orang ramai yang ingin menyumbang kepada pihak masjid.

Terdahulu, video dan beberapa gambar kejadian berkenaan tular di media sosial yang memperlihatkan dua individu memecahkan tabung masjid tersebut.

Ringkasan AI

  • Tiga tabung Masjid An-Nasriyah di Sitiawan pecah oleh dua individu pada awal pagi Khamis ketika Ramadan
  • Pecahan dan kecurian hanya disedari setelah pegawai masjid datang untuk solat Subuh
  • Jumlah wang yang diambil dianggarkan tidak sampai RM1,000 dan laporan polis telah dibuat
  • Pihak masjid akan meningkatkan keselamatan untuk mengelak kejadian berulang
  • Aktiviti masjid berjalan seperti biasa sepanjang Ramadan walaupun berlaku kecurian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!