Warga emas maut tercekik bebola pulut disuap isteri

HONG KONG – Seorang lelaki warga emas berusia 92 tahun dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai tercekik bebola pulut (tang yuan) di rumahnya pada hari kedua Tahun Baharu Cina.
Menurut laporan media tempatan, polis menerima panggilan kira-kira jam 9 pagi pada 18 Februari selepas lelaki itu rebah di sebuah unit kediaman di Sau Wah House, Sau Mau Ping Estate di Kowloon.
Apabila anggota polis dan paramedik tiba di lokasi, mangsa yang dikenali dengan nama keluarga Song ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital United Christian sebelum disahkan meninggal dunia.
Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan dipercayai tercekik ketika makan tang yuan, iaitu makanan yang lazim dihidangkan ketika musim perayaan.
Laporan tempatan menyebut mangsa mempunyai tekanan darah tinggi dan telah terlantar sakit untuk tempoh yang lama.
Ketika kejadian, isterinya sedang menyuapkan makanan tersebut di ruang tamu sekitar jam 8 pagi sebelum mangsa tiba-tiba tercekik dan pengsan.
Isterinya kemudian meminta anak perempuan mereka menghubungi polis sambil cuba memberikan bantuan kecemasan sementara menunggu pasukan penyelamat tiba.
Polis memaklumkan tiada unsur mencurigakan dikesan dan kes diklasifikasikan sebagai “meninggal dunia ketika tiba di hospital”.
Punca sebenar kematian bagaimanapun akan disahkan selepas proses bedah siasat selesai dijalankan.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki warga emas berusia 92 tahun tercekik bebola pulut hingga meninggal di Hong Kong pada hari kedua Tahun Baharu Cina
- Polis dan paramedik mendapati mangsa tidak sedarkan diri setelah dipanggil ke Sau Wah House, Kowloon
- Song disahkan meninggal dunia di Hospital United Christian
- Ketika kejadian, bebola pulut disuapkan oleh isterinya dan lelaki tersebut tercekik
- Tiada unsur mencurigakan dikesan, kes diklasifikasikan sebagai meninggal dunia ketika tiba di hospital
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
