AI tak dapat tandingi karya seni tradisi - Lat

IPOH – Seniman Diraja, Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat berpandangan bahawa kecanggihan kecerdasan buatan (AI) tidak mampu menandingi nilai dan jiwa yang lahir daripada karya seni tradisi yang dihasilkan dengan tangan.
Sebagai pelukis yang mula berkarya sejak era 1960-an, beliau berpandangan, proses melukis pada zaman dahulu lebih bersifat peribadi dan lahir daripada pengalaman hidup serta pemerhatian terhadap masyarakat sekeliling.
"Kerja saya simple, kadang-kadang nampak kosong tapi ada cerita. Kita hendakkan ruang untuk orang berfikir dan mengisinya dengan imaginasi mereka.
"Generasi kami buat kerja seni dan tradisi. Itu pegangan kami sejak daripada generasi sebelum kami lagi," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas hadir ke Program Khidmat Masyarakat Semaian Kasih Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Perak di Maahad Darus Salam, Rizab Kampung Melayu Tambun di sini pada Jumaat.
Lat menegaskan, setiap zaman mempunyai keistimewaan tersendiri namun nilai sentuhan manusia dalam seni tetap mempunyai impak dalaman yang lebih mendalam berbanding hasil yang dijana teknologi.
Menurutnya, generasi hari ini mempunyai pendekatan berbeza dan lebih canggih dalam berkarya termasuk memanfaatkan teknologi digital serta AI.
Beliau turut mengakui kagum melihat karya moden yang dihasilkan dengan perincian tinggi menggunakan teknologi, namun berpendapat seni yang terlalu sarat dengan detail juga boleh menyebabkan khalayak cepat jemu.
Tambah beliau, kelebihan tangan dan jari yang dikurniakan Tuhan perlu dimanfaatkan sepenuhnya dalam berkarya.
"Saya pernah ke India, mereka kagum sebab saya melukis guna tangan.
"Mereka mahir ubah gambar dengan teknologi, tapi bila beri pen dan kertas, tak semua boleh lukis. Jadi, itu bezanya kebolehan kita," katanya.
Mengimbau penghasilan karya terkenalnya, The Kampung Boy, beliau berkata, buku itu dihasilkan sepenuhnya berasaskan ingatan zaman kanak-kanaknya di kampung walaupun ketika itu menetap di Bangsar, Kuala Lumpur.
"Saya buat buku itu sebab mahu perkenalkan kehidupan budak kampung.
"Semua dilukis daripada ingatan macam mana keadaan kampung, pakaian, kawan-kawan dan apa yang kami buat," ujarnya.
Lat yang meminati seni wayang kulit sejak kecil berkata, seni tradisi seperti persembahan tok dalang mempunyai keunikan tersendiri yang sukar digantikan teknologi.
Ringkasan AI
- Lat berpandangan AI tidak dapat menandingi nilai seni yang dihasilkan secara tradisional
- Melukis secara tradisional lebih bersifat peribadi dan mencermin pengalaman hidup
- Lat menekankan pentingnya sentuhan manusia dalam seni berbanding hasil janaan teknologi
- Walaupun mengakui kecanggihan teknologi dalam seni moden, Lat berpendapat seni tradisional mempunyai tempatnya sendiri
- Lat memuji kelebihan melukis dengan tangan dan menganggapnya sebagai keistimewaan yang unik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

