'Anak tempatan perlu bantu bangunkan kampung halaman' - Mohammad Nizar

Mohammad Nizar (dua dari kanan) bersama usahawan yang terlibat sempena MIKEP Pesisir Sungai Perak 2026 di Kampung Guar, Manong.
Mohammad Nizar (dua dari kanan) bersama usahawan yang terlibat sempena MIKEP Pesisir Sungai Perak 2026 di Kampung Guar, Manong.
A
A
A

KUALA KANGSAR – Kerajaan Perak menggalakkan anak-anak tempatan membangunkan sendiri kampung halaman masing-masing bagi mewujudkan peluang ekonomi baharu di luar bandar.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kesedaran dan inisiatif anak tempatan menganjurkan acara berteraskan ekonomi di kampung mampu merancakkan pembangunan setempat melalui minat serta bakat yang diketengahkan.

Menurutnya, kerajaan negeri akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dan memberikan sokongan padu terhadap usaha tersebut memandangkan beberapa model pembangunan kampung yang dilaksanakan sebelum ini terbukti berjaya sehingga menarik perhatian masyarakat termasuk di peringkat antarabangsa.

“Kesedaran anak-anak tempatan sendiri untuk mengambil inisiatif menganjurkan acara-acara ekonomi di kampung-kampung dapat membantu merancakkan pembangunan kampung melalui minat dan bakat yang ditonjolkan.

“Kejayaan model di Perak Tengah seperti di Pulau Tiga dan Kampung Gajah telah menarik minat negara jiran seperti Thailand untuk bekerjasama dalam bidang industri halal dan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dengan negeri Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mini Karnival Kesejahteraan dan Keusahawanan Eko-Pelancongan (MIKEP) Pesisir Sungai Perak 2026 di Kampung Guar, Manong di sini.

Hadir sama, Pengerusi Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Mustaffa Kamil Ayub.

Mengulas lanjut, Mohammad Nizar berkata memandangkan Manong dan Perak Tengah mempunyai latar belakang sosioekonomi yang hampir sama, kejayaan pembangunan di Perak Tengah boleh diperluaskan ke daerah Kuala Kangsar.

Katanya, pelbagai pengisian diadakan sempena MIKEP bagi menonjolkan potensi ekonomi kampung, antaranya pameran produk usahawan, ceramah keusahawanan, jualan pelbagai produk tempatan, acara seni peringkat sekolah serta persembahan pakaian tradisional.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, kerajaan negeri bersedia membantu dari segi pembangunan asas di bawah portfolionya termasuk kemudahan jalan raya, pembersihan sungai dan parit serta keperluan infrastruktur lain.

Beliau turut berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan agar usaha mempromosikan dan menghidupkan aktiviti ekonomi kampung terus subur di negeri Perak demi kepentingan generasi baharu di luar bandar.

Ringkasan AI

  • Kerajaan Perak menggalakkan anak-anak tempatan membangunkan sendiri kampung halaman untuk mewujudkan peluang ekonomi baru
  • Exco Perak menyatakan pentingnya acara ekonomi anjuran anak tempatan dalam merancakkan pembangunan kampung
  • Kerajaan negeri memberikan sokongan kepada usaha pembangunan kampung dengan model yang telah berjaya menarik perhatian antarabangsa
  • Kejayaan pembangunan di Perak Tengah menarik minat negara jiran untuk kerjasama dalam industri halal dan TVET
  • Program dan karnival ekonomi disokong kerajaan negeri untuk menonjolkan potensi ekonomi kampung dan membantu pembangunan infrastruktur

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!