'Kerajaan Perak tak mungkin tumbang' - Saarani

Saarani (dua dari kanan) ketika menyempurnakan Pelancaran Jualan Rumah Carnelian 2 di Meru Perdana 2, Chemor pada Sabtu.
Saarani (dua dari kanan) ketika menyempurnakan Pelancaran Jualan Rumah Carnelian 2 di Meru Perdana 2, Chemor pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak tidak akan tumbang dalam masa terdekat di sebalik desas-desus di media sosial kononnya pentadbiran negeri bertukar.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu disifatkan sukar untuk berlaku kerana semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terikat dengan Akta Lompat Parti yang diluluskan sebelum ini.

Menurutnya, pentadbiran kerajaan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) itu diyakini kekal sehingga habis penggal.

"Bila khabar angin ini datang dua, tiga minggu lepas, saya tanya semua ADUN PH, mereka kata tak ada seorang pun yang tunjuk tanda-tanda mereka teruja nak tinggalkan DUN masing-masing. BN ada sembilan orang saya tanya juga siapa nak lari, tak ada yang lari.

"Perak saya tak fikir akan berlaku. Tempat lain saya tak pasti. Jadi rakyat Perak jangan susah hati, Insya-ALLAH kerajaan ini kukuh hingga tamat tempoh," katanya kepada pemberita ketika hadir ke Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri MK Land dan Pelancaran Jualan Rumah Carnelian 2 di Meru Perdana 2, Chemor di sini pada Sabtu.

Hadir sama pada majlis itu, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng Shy Ching dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MK Land, Datuk Faris Yahaya.

Saarani berkata, untuk menubuhkan kerajaan di Perak memerlukan majoriti mudah sebanyak 30 ADUN dan ia perlu mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Katanya, ketika ini kerajaan mempunyai sokongan daripada 33 ADUN berbanding pembangkang yang hanya ada 26 ADUN.

Katanya, jika pembangkang ingin membentuk kerajaan memerlukan empat lagi ADUN untuk menyokong mereka.

"Empat kerusi ini nak ambil di mana? Kita ada Akta Lompat Parti. Apabila berlaku lompat, empat kerusi akan diisytiharkan kosong oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk diadakan pilihan raya kecil.

"Kalau ada mana-mana empat orang ADUN kerajaan yang terkesima atau teruja dengan mana-mana tawaran, fikirlah semula sebab bila dah lompat parti dan digugur sebagai ADUN, dia tak boleh bertanding semula di tempat itu," katanya.

Dalam pada itu, Saarani menasihatkan ADUN-ADUN bertindak bijak sebagai orang politik dan tidak mudah termakan umpan pihak-pihak tertentu.

Sebelum ini, timbul pelbagai desas-desus kononnya kerajaan negeri Perak akan bertukar pada Julai ini.