KUANTAN - Pembahagian kerusi Parlimen dan Dun  Pakatan Harapan (Harapan) Pahang bagi menghadapi PRU14  selesai sepenuhnya.

Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman berkata, Harapan yang menggabungkan Bersatu, DAP, Amanah dan PKR sebulat suara bersetuju dengan agihan itu hasil perbincangan pemimpin Harapan.

Menurutnya, Harapan Pahang antara yang pertama mampu menyelesaikan agihan kerusi membabitkan keempat-empat parti setakat ini.

“Namun saya akui masih ada satu atau dua kerusi masih lagi dalam peringkat rundingan atau dipertimbangkan semula.

“Tapi kita yakin keputusan dapat dibuat sebulat suara dan apa yang diputuskan oleh pihak atasan kita akan ikut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Harapan Pahang di Restoran Mum Ching di sini, hari ini.

Kira-kira 500 hadir pada konvensyen yang berlangsung selama sehari itu.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan jumlah pengagihan kerusi yang diperuntukkan bagi setiap parti terlibat.

Dalam pada itu, Fauzi menasihatkan ahli Harapan supaya bersatu padu dalam pasukan dengan menyokong setiap pemimpin yang dipilih oleh pucuk pimpinan.

Jelasnya, misi paling utama adalah untuk memenangi hati rakyat sekaligus menumbangkan kerajaan BN.

“Saya minta kalau calon A bertanding, B,C dan D kena tetap bersama sebab matlamat kita adalah untuk menang.

“Kita semua perlu bekerja keras tetapi secara bijak bagi membolehkan rakyat menyokong Harapan. Malah BN pun tahu kedudukan mereka semakin terancam,” katanya.