Pas Selangor persoal risiko alam sekitar ladang babi 200 hektar di Bukit Tagar

SHAH ALAM - Pas Selangor mempersoalkan jaminan keselamatan dan alam sekitar berhubung rancangan kerajaan negeri untuk membangunkan ladang ternakan babi seluas 200 hektar di Bukit Tagar, Hulu Selangor yang dikatakan menggunakan konsep moden ‘zero waste, zero discharge’.
Timbalan Pengerusi Lajnah Penerangan Pas Selangor, Ir Dr Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, istilah tersebut sering disalah tafsir seolah-olah tiada langsung sisa atau pelepasan, sedangkan dalam amalan penternakan babi moden, sistem yang digunakan hanyalah sistem tertutup atau ‘closed-loop’.
Menurutnya, sistem tersebut masih menghasilkan pelepasan gas seperti ammonia dan metana, sisa pepejal termasuk enap cemar (sludge), serta pencemaran bau meskipun sisa ternakan itu dirawat melalui proses pengumpulan najis, rawatan air kumbahan, penghasilan biogas, baja organik dan kitar semula air terawat.
“Walaupun lebih terkawal, sisa pepejal tetap perlu dipindahkan secara manual ke lokasi lain dan risiko tumpahan di jalan raya tetap wujud.
“Bayangkan masyarakat Melayu Islam di kawasan terbabit terpaksa melalui jalan yang dilalui sisa najis babi,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau turut mempersoalkan isu pencemaran bau, dengan mengimbas pengalamannya di Air Kuning yang mempunyai beberapa kandang babi berskala sederhana.
“Ketika hendak menunaikan solat Subuh di masjid, bau yang menusuk hidung menjejaskan kekhusyukan.
“Itu baru kandang berskala sederhana, bayangkan ladang seluas 500 ekar (200 hektar)? Adakah kerajaan negeri berani menjamin sistem ini benar-benar ‘zero odour’?” soalnya.
Nurul Islam turut membangkitkan kebimbangan mengenai kedudukan ladang yang dicadangkan itu berhampiran beberapa Loji Rawatan Air (LRA) dan muka sauk, antaranya LRA Rantau Panjang (lama dan baharu) serta LRA Sungai Selangor 1, 2 dan 3.
Katanya, semua LRA tersebut terletak di kawasan pertengahan Sungai Selangor sekitar Bukit Tagar dan Bestari Jaya yang menyumbang kira-kira 60 hingga 70 peratus bekalan air kepada penduduk di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.
“Sekiranya berlaku pencemaran masuk ke sungai akibat kegagalan sistem atau kebocoran kolam takungan kumbahan ladang, kesannya amat besar dan boleh menjejaskan bekalan air jutaan penduduk,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa konsep ‘zero discharge’ juga tidak bermakna tiada pelepasan langsung, kerana sisa terawat masih akan dilepaskan secara berjadual yang tetap menimbulkan risiko sekiranya berlaku kecuaian atau masalah teknikal.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan Selangor menangguhkan cadangan pemindahan ladang ke Bukit Tagar dan melaksanakan kajian terperinci, termasuk Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Penilaian Impak Sosial (SIA).
Selain itu, beliau mencadangkan agar satu sesi pendengaran awam diadakan bagi mendapatkan pandangan pakar dan wakil masyarakat sebelum laporan penuh dibentangkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tanpa sebarang tapisan.
“Ini bukan soal membandingkan jumlah kandang atau ternakan dengan kerajaan terdahulu, sebaliknya membabitkan perancangan projek, kebolehlaksanaan serta kesan besar terhadap alam sekitar dan kesihatan awam.
“Konsep ‘modern pig farming’ dengan slogan ‘zero waste, zero discharge’ tidak boleh dianggap sebagai jaminan keselamatan mutlak. Jangan sampai sudah terhantuk baru terngadah,” tegas beliau.
Ringkasan AI
- Pas Selangor mempersoalkan jaminan keselamatan dan alam sekitar rancangan pembangunan ladang ternakan babi di Bukit Tagar
- Istilah 'zero waste, zero discharge' didakwa menyesatkan kerana sistem penternakan moden masih menghasilkan pelepasan gas dan sisa pepejal
- Risiko pencemaran bau dari ladang ternakan babi berpotensi ganggu kekhusyukan aktiviti keagamaan masyarakat setempat
- Ladang ternakan babi berdekatan dengan beberapa Loji Rawatan Air yang menyumbang bekalan air ke Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya
- Nurul Islam mendesak kerajaan Selangor untuk menangguhkan pemindahan ladang dan melakukan kajian terperinci termasuk EIA dan SIA
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

