Akmal Saleh akan umum hasil pertemuan esok - Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID
AHMAD ZAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dijangka memaklumkan hasil pertemuannya dengan Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung kedudukan beliau dalam parti itu pada Rabu. 

Ahmad Zahid berkata, beliau sudah bertemu dengan ketua sayap parti itu pada Selasa sebelum menghadiri Majlis Konvokesyen Kedua Sekolah Patriotik UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini. 

"Saya dah bertemu dengannya (Dr Muhamad Akmal) tadi...saya dah berikan nasihat terbaik dan beliau akan umumkan hasil pertemuan esok,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengesahkan bahawa beliau akan bertemu dengan Dr Muhamad Akmal pada Selasa. 

Semalam, Dr Muhamad Akmal berkata, beliau akan akur dengan keputusan Ahmad Zahid dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berhubung kedudukan jawatan yang disandangnya ketika ini.

Dr Muhamad Akmal merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau serta Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka.

Media sebelum ini melaporkan Dr Muhamad Akmal memberi bayangan untuk berundur daripada dua jawatan yang disandangnya ketika ini selepas gesaan beliau supaya UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan mendapat reaksi negatif daripada Ahmad Zahid.

Sementara itu, ketika dalam ucapan pada majlis konvokesyen itu Ahmad Zahid berkata, Sekolah Patriotik UMNO berkenaan bukan sekadar sebuah sekolah politik, tetapi sebuah institusi pembinaan pemikiran, watak dan jiwa perjuangan.

"Ia lahir daripada keyakinan bahawa perjuangan tidak boleh bersifat reaktif, sebaliknya mesti dirancang, dididik dan diwariskan secara teratur.

Artikel Berkaitan:

"Ia titik serah amanah untuk menyambung gagasan, memelihara nilai dan memimpin perjuangan dengan ilmu, disiplin serta kebijaksanaan…di sinilah bermulanya peranan anda semua sebagai pelapis yang akan menentukan arah parti dan masa depan negara,” katanya.

Turut hadir, kepimpinan tertinggi parti termasuk Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Konvokesyen kali kedua itu meraikan 110 graduan, merangkumi 54 graduan daripada kumpulan Patriot 2 dan 56 daripada kumpulan Patriot 3.

Penubuhan Sekolah Patriotik UMNO sejak Januari 2025 itu, merupakan inisitif untuk memastikan kesinambungan kepemimpinan berlandaskan nilai perjuangan parti dan memberi ruang kepada pemimpin muda berkembang menjadi pelapis kepimpinan parti. - Bernama 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Dr Muhamad Akmal Saleh akan memaklumkan hasil pertemuannya dengan Dr Ahmad Zahid Hamidi
  • Ahmad Zahid telah bertemu dan memberi nasihat kepada Dr Muhamad Akmal
  • Dr Muhamad Akmal akur dengan keputusan pimpinan parti berhubung kedudukannya
  • Dr Muhamad Akmal memberi bayangan berundur dari jawatannya selepas reaksi negatif terhadap cadangan keluar dari Kerajaan Perpaduan
  • Sekolah Patriotik UMNO merupakan institusi pembinaan pemikiran dan kepemimpinan parti

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!