PM ucap selamat bersidang kepada perwakilan UMNO

Anwar diiringi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) ketika tiba pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto fail Bernama
Anwar diiringi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) ketika tiba pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat bersidang kepada semua pimpinan dan perwakilan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 yang berlangsung bermula hari ini hingga Sabtu.

Anwar pada masa sama berharap persidangan UMNO itu kali ini akan berlangsung dengan tertib, penuh wacana bernas berpaksikan kepada rakyat, serta menyumbang kepada pengukuhan perpaduan nasional demi sebuah Malaysia yang Madani.

Beliau berkata, Malaysia memerlukan politik yang matang, berteraskan muafakat, saling menghormati dan keupayaan untuk bekerja bersama demi kestabilan, kemakmuran serta masa depan yang lebih adil dan inklusif buat seluruh rakyat.

"Dalam landskap politik dan ekonomi yang kian mencabar, kekuatan sebenar tidak lahir daripada perbezaan yang terus dipicu, sebaliknya daripada kesepaduan yang diperkukuh, kebijaksanaan yang diraikan, serta iltizam bersama untuk mendahulukan kepentingan rakyat dan negara,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Menerusi hantaran berkenaan, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan turut berkongsi sekeping gambar sewaktu beliau menghadiri Perhimpunan Agung UMNO pada t2023.

Perhimpunan Agung UMNO 2025 berlangsung dari 14 hingga 17 Jan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini selepas ditangguhkan dua kali pada Ogos dan November bagi memberi laluan kepada persiapan parti menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Perhimpunan kali ini menghimpunkan sebanyak 6,412 perwakilan dari seluruh negara melibatkan 2,928 orang bagi Perhimpunan Agung UMNO 2025, Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita (1,165 orang), Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda (1,173 orang) dan Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri (1,146 orang). - Bernama

 

 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucap selamat bersidang kepada pimpinan dan perwakilan UMNO 2025
  • Anwar berharap persidangan berlangsung dengan tertib dan menyumbang kepada perpaduan nasional
  • Malaysia memerlukan politik yang matang yang berteraskan muafakat dan saling menghormati
  • Perhimpunan Agung UMNO 2025 berlangsung dari 14 hingga 17 Januari di Pusat Dagangan Dunia
  • Menghimpunkan sebanyak 6,412 perwakilan dari seluruh negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!