PAU 2025 buka tirai esok, persidangan Pemuda UMNO bakal jadi tumpuan

Persidangan Pemuda UMNO yang dijadualkan berlangsung di Dewan Merdeka pada Khamis dijangka meraih perhatian ramai susulan ketuanya menggesa parti itu membuat ketetapan untuk menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan.
Persidangan Pemuda UMNO yang dijadualkan berlangsung di Dewan Merdeka pada Khamis dijangka meraih perhatian ramai susulan ketuanya menggesa parti itu membuat ketetapan untuk menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan.
A
A
A

SHAH ALAM – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang membuka tirai esok di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dijangka menjadi medan penting penentuan hala tuju parti itu dengan tumpuan utama akan terarah kepada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO.

Persidangan sayap itu yang dijadualkan berlangsung di Dewan Merdeka pada Khamis dijangka meraih perhatian ramai susulan kelantangan ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa UMNO membuat ketetapan untuk menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan.

Desakan itu dibuat beliau pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO bertemakan 'Hala tuju UMNO dalam Kerajaan Perpaduan' pada 3 Januari lalu yang dihadiri sekitar 2,000 ahli.

Menurut Dr Akmal, UMNO telah memberi ruang dan peluang secukupnya kepada Kerajaan Perpaduan sepanjang tiga tahun penyertaan parti itu, namun beberapa garis merah yang telah ditetapkan sejak awal didakwa telah dilanggar berulang kali.

Katanya, keputusan tersebut perlu dibuat secara kolektif dan berprinsip demi menjaga maruah dan hala tuju parti, khususnya dalam memperjuangkan kepentingan orang Melayu serta Islam.

MUHAMAD AKMAL
MUHAMAD AKMAL

Beliau juga menegaskan bahawa sudah sampai masanya untuk UMNO dan Pas menggerakkan nadi kekuatan orang Melayu menerusi penyatuan ummah.

Segala usul dan gesaan yang dibuat menerusi konvensyen khas itu mencetuskan bualan hangat dalam kalangan kepimpinan dan ahli parti.

Artikel Berkaitan:

Ekoran itu, nada ucapan serta pendirian yang akan dibawa oleh perwakilan Pemuda UMNO dalam perhimpunan kali ini dijangka menjadi indikator penting sentimen generasi muda UMNO terhadap kerjasama politik sedia ada serta hala tuju parti menjelang pilihan raya akan datang.

Berdasarkan atur cara rasmi, Perhimpunan Agung Wanita dan Puteri UMNO turut berlangsung pada hari sama di dewan berasingan sebelum keseluruhan program berakhir pada Sabtu.

Pelbagai agenda utama parti termasuk perasmian sayap, sesi perbahasan, penggulungan serta sidang media penutup, selain program ilmiah dan konvensyen berkaitan pendidikan serta pembangunan sosioekonomi akan berlangsung.

Atur cara PAU 2025 yang akan berlangsung sehingga Sabtu ini.
Atur cara PAU 2025 yang akan berlangsung sehingga Sabtu ini.

Pada Rabu, Simposium Politik Era Digital 2026 akan diadakan pada sebelah pagi, diikuti taklimat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi secara tertutup serta Majlis Perasmian Sayap Serentak oleh Timbalan Presiden UMNO pada sebelah malam.

Pada Jumaat, kemuncak PAU akan bermula dengan Upacara Menaikkan Bendera Sang Saka Bangsa diikuti PAU hari pertama pada jam 9 pagi yang akan dirasmikan Ahmad Zahid yang turut menyampaikan ucapan dasar sebelum ia diteruskan dengan sesi perbahasan perwakilan.

Perbahasan perwakilan bersambung pada Sabtu sebelum sesi penggulungan dan sidang media penutup pada hari terakhir perhimpunan.

Ahmad Zahid juga bakal membuat satu pengumuman penting pada hari terakhir PAU 2025 iaitu yang berkaitan penubuhan sebuah organisasi di luar lingkungan politik hasil idea beliau sendiri.

Selain agenda utama, PAU 2025 turut dimeriahkan dengan pelbagai program berterusan termasuk gerai jualan, pameran wanita kreatif, pertandingan 'pitching' usahawan wanita, expo agri komoditi wanita dalam industri halal yang berlangsung sepanjang perhimpunan.

 

Ringkasan AI

  • Perhimpunan Agung UMNO 2025 akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur
  • Fokus utama adalah kepada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO yang mana ketuanya menggesa UMNO menarik diri dari Kerajaan Perpaduan
  • Dr Akmal menyatakan UMNO perlu mempertahankan maruah dan hala tuju parti terutamanya dalam memperjuangkan kepentingan orang Melayu serta Islam
  • Nada ucapan dan pendirian Pemuda UMNO akan menjadi indikator sentimen generasi muda parti terhadap kerjasama politik sedia ada
  • Acara kemuncak PAU termasuk Upacara Menaikkan Bendera Sang Saka Bangsa dan ucapan dasar oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!