PRK Lamag: Gelombang penolakan parti nasional beri kelebihan kepada Warisan 

Mazliwati (kanan) semasa hari penamaan calon di Dewan Sri Lamag, Kinabatangan.
Mazliwati (kanan) semasa hari penamaan calon di Dewan Sri Lamag, Kinabatangan.
A
A
A

KINABATANGAN – Gelombang penolakan terhadap parti nasional atau parti dari Semenanjung pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu dilihat memberi kelebihan kepada Parti Warisan (Warisan) dalam persaingan dua penjuru pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag kali ini.

Calon Warisan, Mazliwati Abdul Malek, mengakui persaingan PRK kali ini sengit, namun berpandangan sentimen rakyat yang menolak parti dari Semenanjung masih wujud dan berpotensi mempengaruhi keputusan pengundian.

“Saya tidak mahu terlalu yakin walaupun pertandingan kali ini satu lawan satu. Sebelum ini pun saya sudah biasa bertarung satu lawan satu, termasuk pada PRN lalu yang berlaku pada saat-saat akhir.

“Dalam masa sama, saya juga tidak boleh memperkecilkan kehendak rakyat kerana akhirnya rakyat yang akan membuat pilihan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Mazliwati berkata, berdasarkan keputusan PRN lalu, jelas berlaku penolakan terhadap parti nasional di Sabah, termasuk di DUN Lamag yang dimenangi dengan majoriti tipis, manakala beberapa kerusi lain gagal dipertahankan oleh parti dari Semenanjung.

“Jika kita lihat data PRN lalu, rakyat Sabah sebenarnya menunjukkan mereka mahu menolak parti dari Malaya (Semenanjung). Sama ada mereka memilih Gabungan Rakyat Sabah (GRS), calon bebas atau Warisan, hakikatnya itu adalah penolakan terhadap parti dari Malaya.

“Barisan Nasional (BN) sendiri, jika kita lihat, hanya tinggal enam kerusi sahaja. Itu sudah cukup menunjukkan sentimen rakyat,” katanya.

Menurut beliau, kesedaran rakyat Sabah untuk memperjuangkan hak dan kehendak sendiri semakin meningkat, selari dengan contoh yang ditunjukkan oleh Sarawak yang ditadbir sepenuhnya oleh parti tempatan.

“Rakyat Sabah sebenarnya sudah tahu apa yang mereka mahukan. Cuma sebelum ini mereka agak lambat untuk mengetahui bagaimana hendak mendapatkan apa yang mereka mahu.

Artikel Berkaitan:

“Sarawak sudah menunjukkan caranya, iaitu dengan mengundi parti tempatan yang benar-benar mewakili mereka. Apabila parti tempatan kuat, suara mereka juga menjadi kuat,” ujarnya.

Mazliwati berkata, sebagai rakan kongsi dalam Persekutuan Malaysia, Sabah seharusnya mempunyai kuasa tawar-menawar yang lebih kukuh, namun perkara itu sukar dicapai sekiranya diwakili oleh parti dari Semenanjung.

“Dalam Persekutuan ini, Sabah, Sarawak dan Semenanjung adalah rakan kongsi. Tetapi jika Sabah diwakili oleh parti dari Malaya, kuasa tawar-menawar kita menjadi lemah.

“Berbeza dengan Sarawak yang dipenuhi parti tempatan, sebab itu suara mereka kuat,” katanya.

Beliau berpandangan, perbezaan utama kali ini ialah rakyat Sabah sudah mula memahami bukan sahaja apa yang mereka mahukan, tetapi juga cara untuk mencapainya melalui pilihan raya.

“Saya rasa gelombang untuk menolak parti dari Malaya itu masih ada. Cuma mungkin perlu diingatkan semula kerana PRN masih baharu dan kita masih memberikan enam kerusi kepada UMNO dan satu kepada PH.

“Tetapi PRK ini memberi peluang untuk mengurangkan lagi pengaruh parti dari Malaya,” katanya.

Mazliwati turut menyatakan keyakinan bahawa kesedaran politik itu semakin berkembang, termasuk di kawasan luar bandar seperti Lamag, hasil pendedahan dan perubahan pemikiran rakyat.

“Rakyat di bandar sudah lama terbuka minda, dan sekarang saya melihat rakyat di luar bandar juga sudah mula sedar apa yang mereka mahu lakukan.

“Apabila rakyat sudah sedar apa yang mereka mahukan dan tahu bagaimana untuk mencapainya, saya yakin PRK kali ini boleh membawa perubahan, termasuk pengurangan kerusi parti dari Malaya,” katanya.

Mazliwati akan berdepan saingan dua penjuru iaitu calon Barisan Nasional (BN), Mohd Ismail Ayob atau lebih dikenali sebagai Miha, dalam PRK DUN Lamag.

Ringkasan AI

  • Gelombang penolakan terhadap parti nasional dari Semenanjung memberi kelebihan kepada Parti Warisan dalam PRK DUN Lamag
  • Calon Warisan, Mazliwati Abdul Malek, mengakui persaingan sengit tetapi yakin sentimen tolak parti Semenanjung masih berpengaruh
  • Hasil PRN lalu menunjukkan penolakan rakyat Sabah terhadap parti nasional, termasuk kekalahan di beberapa kerusi
  • Kesedaran rakyat Sabah meningkat, menginginkan kuasa tawar-menawar yang lebih kukuh dalam Persekutuan Malaysia dengan mendukung parti tempatan
  • Mazliwati yakin PRK ini dapat mengurangkan lagi pengaruh parti dari Semenanjung di Sabah sambil meningkatkan kesedaran politik di kawasan luar bandar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!