Tiga rakan sekerja maut, tidak sempat hadiri kursus di Kuala Lumpur

GUA MUSANG - Tiga rakan sekerja maut dan tidak sempat menghadiri kursus di Kuala Lumpur selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Serena yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah van di Kilometer 55 Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini pada Selasa.
Dalam kejadian jam kira-kira 12.40 tengah hari itu, mangsa Mohamed Saiful Kamaruzaman, 33, dari Kampung Anak Sungai, Pengkalan Chepa, Kota Bharu; Nik Azmi Nik Othman, 47, dari Pasir Kelang Baru, Kuala Krai dan Nik Razizi Nik Rahim, 55, dari Taman Sri Bongor, Cherang, Kota Bharu meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kesemua mangsa merupakan pekerja di Refueller Runway Fuels Sdn Bhd.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila MPV yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 42 tahun dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Lumpur untuk hadir kursus bersama tiga lagi rakan sekerja dipercayai terbabas.
"MPV terbabit masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan van jenis Toyota Hiace yang datang dari arah bertentangan.
"Disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu van tidak sempat mengelak dan bertembung dengan MPV berkenaan," katanya kepada pemberita.

Menurut beliau, van terbabit kemudiannya dikatakan berpusing dan melangtar tembok batu penghadang jalan di sebelah kiri jalan menghala ke arah Gua Musang.
Ujarnya, akibat dari pertembungan terbabit pemandu dan penumpang van serta pemandu MPV mengalami kecederaan parah.
Bagaimanapun Choon Foo memberitahu, kesemua penumpang MPV iaitu tiga rakan sekerja terbabit maut di lokasi kejadian.
"Kesemua mayat mangsa dibawah ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.
"Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.
Jelasnya, orang ramai yang melihat kejadian terbabit atau mempunyai sebarang maklumat diminta menyalurkannya kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaqn Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di talian 09-9121222 atau 019-9144855.
Sebelum itu Sinar Harian melaporkan tiga lelaki maut manakala dua lagi cedera termasuk seorang wanita dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kampung Paloh, Jalan Gua Musang–Kuala Krai di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, enam mangsa terlibat yang mana tiga daripadanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
Ringkasan AI
- Tiga rakan sekerja maut dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk menghadiri kursus
- Mangsa terlibat dalam kemalangan di Kilometer 55 Jalan Gua Musang-Kuala Krai
- Kemalangan berpunca dari MPV yang terbabas masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan van
- Pemandu dan penumpang van serta pemandu MPV mengalami kecederaan parah
- Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

