Najib: 'Saya tak marah PR kejar jawatan PM'

Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan Tanjung Dawai, Abdullah Saat (kiri) menerima replika cek dari Perdana Menteri - Foto Bernama
A
A

SUNGAI PETANI - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara terbuka berkata beliau tidak “marah” jika pimpinan Pakatan Rakyat (PR) mahu mengejar jawatannya ataupun mana-mana kedudukan kerajaan tetapi tidak mahu mengkhianati negara.

“Saya tak marah kalau mereka nak jawatan saya. Saya tak marah mereka nak kejar jawatan lain, tapi jangan mengkhianati negara kira,” kata beliau ketika berucapa merasmikan Perhimpunan Penternak, Peladang dan Nelayan Peringkat Negeri di Pantai Merdeka di sini, hari ini.

Beliau berkata, PR tidak seharusnya melakukan dasar-dasar yang boleh memusnahkan segala-galanya yang dibina dengan susah payah selama ini.

“Jangan musnahkan segalanya semata-mata nak mengejar undi di peringkat negeri mahupun Persekutuan.

“Saya percaya orang Kedah sudah bersedia untuk melakukan perubahan sekali lagi. Kita sudah sedar bahawa apa yang kita hasratkan itu pergantungannya adalah pada kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Dalam ucapannya, Najib menyifatkan cadangan PR mahu memansuhkan hutang jika berjaya menawan Putrajaya akan membuatkan ekonomi negara lumpuh.

Katanya, selain cadangan pembangkang itu dan pelan mahu menghapuskan tol, menaikkan gaji minimum pekerja dan mengurangkan harga minyak, boleh membuatkan ekonomi merudum.

“Kalau ekonomi kita merudum, golongan penternak, nelayan dan petani tidak akan mendapat subsidi, tidak akan mendapat insentif dari kerajaan sebab hasinya juga akan merudum.

“Saya katakan perkara ini sebab saya sebagai Menteri  Kewangan saya amat faham,” katanya.

Najib menambah, “mengendalikan urusan kerajaan bukanlah sesuatu yang mudah dalam bentuk kita boleh ikut suka hati kita menyedapkan telinga pengundi semata-mata.”

Malah, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, tindakanPR untuk memansuhkan hutang bukanlah mengikut ajaran Islam.

“Walhal dalam Islam kalau kita meninggal dunia, wajib kita lunaskan hutang. Kalau kita tak sempat, waris-waris kita kena lunaskan.

“Sebab, kalau kita mati tanpa melunaskan hutang, berat pada roh kita nanti, berat seksa nanti. Tetapi pembangkang senang-senang kata hapuskan hutang. Ini bukan ajaran Islam,” katanya.

Najib berkata, ajaran Islam mendidik manusia pada jalan yang benar dan betul.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

×