• Anwar Ibrahim Anwar Ibrahim
1 /

[DIKEMAS KINI] KOTA BHARU - Pakatan Rakyat hari ini sepakat mengumumkan untuk melantik Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya perikatan itu berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Perkara itu diisytiharkan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang pada Himpunan Kebangkitan Rakyat di sini malam tadi.

Muktamar Tahunan Pas Kali ke-58 sedang berlangsung di sini.

"Anwar bakal Perdana Menteri Malaysia ketujuh bukan keenam," katanya secara terbuka.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Anwar juga berucap pada himpunan malam tadi.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu, dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) prokerajaan juga hadir.

Kit Siang berkata, pendirian itu dibuat untuk menyelamatkan negara daripada amalan rasuah yang semakin berleluasa.

Himpunan malam tadi di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV menghimpunkan kira-kira 40,000 penyokong.

Awal Januari lalu, PR pernah mengulangi pendirian bahawa Anwar akan dilantik Perdana Menteri sekiranya mereka memenangi PRU13 kerana beliau dianggap "paling bersih".

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, tiada pemimpin PKR, DAP dan Pas yang lebih layak daripada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri yang ketujuh sekiranya pakatan mereka menang pilihan raya akan datang.

"Ini bukan soal kita bela Anwar saja tetapi kita bela kerana beliau saja (pemimpin di negara ini) yang paling bersih untuk menjadi Perdana Menteri," kata Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Dalam ucapannya, Kit Siang juga bersetuju dengan kenyataan Hadi bahawa PR sudah bersedia memimpin negara dan pakatan pembangkang mempunyai harapan untuk merealisasikan cita-cita tersebut.

Kit Siang turut menegaskan, DAP tidak akan sekali-kali mengkhianati dasar Buku Jingga seperti disepakati bersama Pas dan PKR.

"Betulkah hak orang Melayu akan hilang, bukan hak orang Melayu akan hilang, hak orang Umno akan hilang.

"Kedudukan Raja Melayu akan terhakis... adakah itu benar? Agama Islam diketepikan, bahawa wujudnya Melayu Kristian, akan menjadi pengemis di negeri sendiri... siapa cakap begitu?" katanya.

Selain itu, Kit Siang turut menafikan dakwaan bahawa Pas akan menghianati dasar Buku Jingga di kawasan Cina, sebaliknya akan menyatukan semua kaum.

Menurutnya, mesej utama yang ingin disampaikan ketika ini ialah rakyat dan pakatan pembangkang bersiap sedia bersatu untuk membawa perubahan.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, PR akan membuktikan bahawa mereka mampu menjadi kerajaan yang bersih dan tindakan tegas kepada mana-mana pemimpin daripada parti itu yang menyeleweng akan dikenakan tanpa mengira sama ada mereka daripada Pas, PKR ataupun DAP.

"Umno tidak boleh menunjukkan negara Islam sebenar, kita berjaya mewujudkan negara yang bersih.

"Jika ada pemimpin kita yang tasuah, tolong ambil tindakan, kita tak mahu ada yang rasuah... kita juga berjaya buktikan kerajaan bersih, boleh mentadbir urus, duit negara tak membazir, boros dan tidak rasuah," katanya.

Dalam pada itu, Harakahdaily melaporkan bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), Datuk Mohd Nahwari Hashim menyerahkan borang keahliannya kepada Abdul Hadi malam tadi.

Mohd Nahrawi juga  pernah menyandang jawatan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais). Selain itu beliau juga pernah berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri di bahagian perkhidmatan awam.

"Saya dah lama nak menyertai Pas, dan hari ini secara rasmi saya menyertainya. Saya minat agama, dan tak boleh lari dah. Orang minat kepada agama mesti memilih Pas," katanya.