ALOR SETAR - Keprihatinan Kerajaan Barisan Nasional (BN) memartabatkan bidang pendidikan memberi peluang ramai di kalangan anak miskin luar bandar melanjutkan pelajaran dalam bidang profesional.

Calon Parlimen Sik, Dr Mansor Abd Rahman, 52, berkata, beliau salah seorang yang berada dalam kelompok itu dan kini berjaya menempatkan diri sebagai seorang doktor perubatan walaupun lahir dalam keluarga susah setelah kematian ayahnya semasa kecil.

Menurutnya, perjuangan BN perlu diteruskan untuk membolehkan lebih ramai anak muda luar bandar mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dalam pelbagai bidang dalam dan luar negeri.

“Saya amat berterima kasih kepada kerajaan BN bukan sahaja memberi banyak kemudahan kepada rakyat di kawasan terpencil tetapi juga pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan mereka hidup lebih selesa.

 “Saya percaya sokongan rakyat terutamanya penduduk Sik akan beralih kepada BN selepas lima tahun berada di bawah Pas kerana mereka mahu lihat lebih banyak pembangunan dilaksanakan di kawasan itu,” katanya.

Dr Mansor yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Sik berkata, pengalaman lebih 10 tahun terlibat dalam aktiviti khidmat sosial dengan melakukan kunjungan rumah ke rumah penduduk memberi rawatan secara percuma memberi peluang kepadanya lebih mendekati masyarakat.

“Saya amat terharu dengan kepercayaan pucuk pimpinan untuk menjadi calon dan sebagai anak jati Sik saya akan berusaha gigih memastikan BN dapat menawan semula parlimen Sik, negeri dan pusat,” katanya.