IPOH - DAP Perak menampilkan beberapa perubahan termasuk memperkenalkan lima muka baharu bagi memenuhi kuota tujuh kerusi Parlimen dan 18 kerusi Dun yang ditandingi parti itu pada PRU14 kali ini.

Enam calon baharu masing-masing mengisi kerusi Dun Tebing Tinggi, Canning, Jelapang, Menglembu, Astaka dan Keranji.

Pengerusi DAP negeri, Nga Kor Ming mengesahkan diri bertanding dua kerusi seperti dilakukan pada penggal lalu.

Beliau yang merupakan penyandang Parlimen Taiping beralih kawasan ke Parlimen Teluk Intan sementara daripada Dun Kepayang ke Dun Aulong.

Parlimen Taiping akan ditandingi Teh Kok Lim yang merupakan penyandang Dun Pokok Assam sementara Kepayang, Dr Ko Chung Sen (penyandang Parlimen Kampar).

Sementara penasihat parti, Datuk Ngeh Koo Ham pula melepaskan kerusi Dun untuk bertanding di satu kerusi Parlimen iaitu Beruas yang dimenanginya pada PRU13.

Beliau memberi laluan kepada calon baharu DAP paling muda, Teoh Yee Chern berusia 28 tahun untuk bertanding di Dun Sitiawan yang dimenangi pada PRU13 lalu.

Dun Sitiawan kini ditukar nama kepada Astaka selepas persempadanan semula dan kini berada di bawah Parlimen Beruas.

Pada PRU13 lalu, DAP memenangi kesemua tujuh kerusi Parlimen dan 18 kerusi Dun yang ditandingi di Perak.

Sebelum ini, Ketua Wanita DAP Perak, Lim Pek Har umum tidak mempertahankan kerusi Dun Menglembu yang dimenangi, keputusan itu mengikut jejak langkah dua lagi wakil rakyat parti berkenaan yang mengumumkan perkara sama iaitu Chen Fook Chye (Keranji) dan Teh Hock Ke (Jelapang).

Sementara itu, satu-satunya calon Melayu, Dr Abdul Aziz Bari diletakkan di kerusi Dun Tebing Tinggi menggantikan Ong Boon Piow yang beralih ke kawasan Dun Bercham yang sebelum ini disandang Cheong Chee Khing.

Untuk rekod, DAP pernah meletakkan calon Melayu di Perak dan menang termasuk Allahyarham Ibrahim Singeh pada 1969, Allahyarham Fadzlan Yahaya pada 1986 dan 1990.

Bekas Timbalan Setiausaha DAP, Mohammad Asri Othman pernah bertanding pada 1990 dan 1995 manakala Dyana Sofya Mohd Daud juga pernah bertanding pada PRK Parlimen Teluk Intan 2014 lalu sebagai calon DAP.

Senarai calon DAP Perak:

Parlimen

P.060 Taiping: Teh Kok Lim (penyandang Dun Pokok Assam)

P.064 Ipoh Timur: Wong Kah Woh (penyandang Dun Canning)

P.065 Ipoh Barat: M Kulasegaran (kekal)

P.070 Kampar: Thomas Su (penyandang Parlimen Ipoh Timur)

P.066 Batu Gajah: V Sivakumar (kekal)

P.068 Beruas: Datuk Ngeh Koo Ham (kekal)

P.076 Teluk Intan: Nga Kor Ming (penyandang Parlimen Taiping)

Dun

N.17 Pokok Assam: Leow Thai Yih (penyandang Dun Jalong)

N.18 Aulong: Nga Kor Ming (penyandang Dun Kepayang)

N.22 Jalong: Loh Sze Yee (kekal)

N.25 Canning: Jenny Choy Tsi Jen (calon baru)

N.26 Tebing Tinggi: Dr Abdul Aziz Bari (calon baru)

N.27 Pasir Pinji: Howard Lee Chuan How (kekal)

N.28 Bercham: Ong Boon Piow (penyandang Dun Tebing Tinggi)

N.29 Kepayang: Dr Ko Chung Sen (penyandang Parlimen Kampar)

N.30 Buntong: A Sivasubramaniam (kekal)

N.31 Jelapang: Cheah Pou Hian (calon baru)

N.32 Menglembu: Steven Chaw Kam Foon (calon baru)

N.33 Tronoh: Paul Yong Choo Kiong (kekal)

N.37 Pantai Remis: Wong May Ing (kekal)

N.38 Astaka: Teoh Yee Chern (calon baru)

N.41 Malim Nawar: Leong Cheok Keng (kekal)

N.42 Keranji: Chong Zhemin (calon baru)

N.55 Pasir Berdamar: Terence Naidu (kekal)

N.57 Sungkai: A Sivanesan (kekal)