• Yusof menunjukkan laporan polis dan risalah yang diedarkan oleh pihak yang tidak dikenalinya. Yusof menunjukkan laporan polis dan risalah yang diedarkan oleh pihak yang tidak dikenalinya.
1 /

KAHANG - Penduduk di kawasan Kampung Sri Lukut, Batu 28, dekat sini, meluahkan rasa tidak senang apabila risalah berkaitan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diedar di kedai makan berhampiran kawasan berkenaan.

Risalah gambar yang dikatakan mirip ketua pembangkang itu diletak di kedai makan sejak Rabu lalu telah mencetuskan rasa curiga dalam kalangan penduduk Batu 28, siapakah dalangnya?

Timbalan Ketua Peti Undi Bahagian Kahang, Yusof Ibrahim berkata, tindakan individu mengedarkan risalah tersebut sungguh tidak bermaruah.

Menurutnya, ia seolah-olah ingin mengaibkan ketua pembangkang tersebut.

“Saya tak tahu siapa yang melakukannya kerana saya percaya mereka yang terlibat ini meletakkan risalah berkenaan pada waktu malam kerana pada masa itu tiada orang yang nampak.

“Saya juga dimaklumkan oleh penduduk di kawasan ini dan bertindak membuat laporan polis pada hari sama risalah tersebut dijumpai.

“Saya tidak salahkan mana-mana pihak kerana saya tidak mengetahui siapa yang buat dan saya juga sudah menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk menyiasatnya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Yusof yang juga Ketua Umno Cawangan Kahang berkata, risalah itu difahamkan diedar di kawasan Kampung Sri Lukut.

Katanya, jika ada pihak yang cuba untuk melakukan kekacauan di kawasan Kahang beliau akan bertindak segera terutama pada musim pilihan raya ini.

“Saya tidak mahu berlaku sebarang pergaduhan, dan biarlah pilihan raya ini berjalan dengan aman tanpa sebarang perselisihan faham terutama di kawasan ini.

“Saya juga akan melakukan tindakan segera sekiranya ahli Umno terlibat dalam pengedaran risalah ini. Bagaimanapun, saya berharap ia tidak akan diedarkan lagi kerana ia akan mencemarkan pemandangan di kawasan Kahang ini,” katanya.