IPOH - BN Perak menggugurkan lapan penyandang masing-masing dua kerusi Parlimen dan enam kerusi Dun pada PRU14 kali ini.

Mereka yang digugurkan ialah Datuk Seri Ong Ka Chuan bagi kerusi Parlimen Tanjung Malim dan Datuk Mohd Zaim Abu Hassan (Parlimen Parit).

Bagi kerusi Dun, penyandang yang digantikan adalah Datuk Mohamad Daud Mohd Yusoff bagi kerusi Selama, Ahmad Hasbullah Elias (Kubu Gajah), Datuk Dr Zabri Abdul Wahid (Trong), Datuk Mohamad Kamil Shafie (Manong), Datuk Nasaruddin Hashim (Bota) dan Datuk Siti Salmah Mat Jusak (Lubuk Merbau).

Dari segi calon baharu pula, seramai tujuh muka baharu bertanding di kerusi Parlimen manakala 33 calon akan memasuki gelanggang buat pertama kali.

Umno terus menguasai pencalonan bagi BN berbanding komponen lain apabila 38 daripada 59 kerusi ditandingi mereka pada PRU14 kali ini.

Pada PRU kali ini, Umno memperoleh tiga kerusi tambahan masing-masing dua kerusi Dun dan satu kerusi Parlimen.

Kerusi tersebut ialah Dun Hutan Melintang yang sebelum ini ditandingi MIC, Dun Kuala Sepetang (Gerakan) dan Parlimen Lumut (MCA).

Seramai 18 muka baharu ditampilkan termasuk seorang individu yang kembali dicalonkan semula iaitu Datuk Dr Wan Norashikin Wan Nordin kerana sebelum ini pernah menjadi Adun Kampung Gajah pada tahun 2008.

Bagi kerusi Parlimen pula, penyandang kerusi Dun Belanja, Mohd Nizar Zakaria turut kembali dicalonkan semula bagi Parlimen Parit yang pernah dimenanginya pada PRU12.

Dari segi latar belakang calon, Umno tampil dengan beberapa tokoh dan pemimpin di peringkat akar umbi bagi mewakili BN pada PRU14 kali ini.

Antaranya, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan yang akan bertanding di kerusi Parlimen Parit Buntar.

Selain itu, Ketua Pemuda Umno Negeri, Khairul Shahril Mohamed turut tersenarai sebagai calon apabila bakal bertanding di kerusi Dun Bota.

Manakala dua penghulu iaitu Mohamad Zuraimi Razali yang bertanding kerusi Dun Manong dan Shahrul Nizam Razali bagi kerusi Dun Kuala Kurau turut dipilih sebagai calon.