BANDARAYA MELAKA - Pakatan Harapan negeri Melaka yang terdiri daripada PKR, DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Amanah Malaysia (Amanah) mengumumkan Adly Zahari sebagai pengerusi gabungan empat parti pembangkang itu.

Menurut Adly yang juga Pengerusi Amanah negeri, tindakan tersebut adalah sebahagian daripada persediaan barisan Harapan untuk pengukuhan di peringkat negeri menjelang PRU14 tidak lama lagi.

"Tindakan ini juga bertujuan menampakkan komitmen kita kepada rakyat dan penubuhan Harapan ini sejajar dengan keperluan kini yang mendambakan sebuah gabungan baru sebagai aspirasi rakyat untuk menggantikan kerajaan sedia ada khususnya di negeri Melaka.

"Pembentukan Harapan ini juga adalah penyelesaian masa hadapan terbaik untuk rakyat dan ia dibarisi kepimpinan bagi memulihkan negara ini yang kini semakin terasing serta sepi dari imej baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis pengumuman struktur Harapan negeri Melaka di Graha Amanah di Bukit Katil di sini.

Pada majlis berkenaan, Adly turut mengumumkan Timbalan Pengerusi Harapan Negeri, Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR), Mohd Redzuan Md Yusof (Bersatu), Tey Kok Kiew (DAP); Naib Pengerusi PH, Mohd Rafiq Naizamohideen (Bersatu), Gue Teck (PKR), Mohd Sofi Wahab (Amanah), G. Sami Nathan (DAP); Setiausaha, Khoo Poay Tiong (DAP); Bendahari, Azizan Hasan (Bersatu); Ketua Wanita, Mahani Masban (PKR); Ketua Pemuda, Ramlan Meon (Bersatu); Pengarah Mobilisasi, Yuhaizad Abdullah (Amanah); Pengarah Undang-Undang, Rusnah Aluai (PKR); Pengarah Ekonomi, Yong Yoon Pin (DAP) dan Pengarah Kebajikan, Mohd Zairi Suboh (Amanah).

Mohd Rafiq turut dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya, Gue Teck sebagai Pengarah Penerangan, Manakala Mohd Sofi Wahab dilantik sebagai Pengarah Tawaran/Menifesto dan G. Sami Nathan sebagai Pengarah Perpaduan.

Tambah Adly, Harapan negeri akan membuat banyak lagi pengumuman selepas ini termasuk hal-hal yang berkaitan dengan kepentingan rakyat.

"Kita akan buat banyak lagi pengumuman secara berkala tentang Harapan peringkat negeri sama ada dari segi gerak kerja serta perkara-perkara yang kita akan tawarkan kepada rakyat," katanya.