KOTA BHARU - Selepas hampir beberapa bulan berada di pentas ceramah Pas, pelakon Abby Abadi akhirnya secara rasmi menyertai parti itu sebagai ahli seumur hidup.

Dalam majlis yang diadakan di Padang Yayasan Islam Kelantan di sini, malam kelmarin,  Abby menyerahkan borang keahlian kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik  Mat disusuli dengan pemakaian selendang hijau oleh Exco Kerajaan Negeri, Wan Ubaidah Omar.

Abby yang terkenal dengan gelaran Inspektor Haliza berkata, tindakan beliau menangguhkan penyertaan dalam Pas sebelum ini kerana mahu memahami mendalam perjuangan parti itu dan akhirnya mendapat petunjuk daripada ALLAH.

Katanya, kesungguhan beliau mendekati Pas adalah kerana mendapati parti itu ikhlas memperjuangkan Islam berdasarkan al-Quran.

“Saya mendapat hidayah ini selepas mengerjakan umrah, tidak ada  siapa yang paksa, malah apa yang saya sampaikan  (dalam ceramah) adalah lahir dari kesedaran dan pemahaman saya sendiri,” katanya dalam majlis yang turut dihadiri seorang lagi pelakon, Hairie Othman.

Abby berkata, sepanjang mendekati Pas, beliau tidak pernah merasakan parti itu membawanya kepada jalan yang buruk seperti mana didakwa pihak-pihak tertentu.

Sementara itu dalam ucapannya, Abby berkata, beliau akan meneruskan perjuangan bidang seni dan mengharapkan parti itu bersama Pakatan Rakyat mampu menawan Kerajaan Pusat sekali gus dapat memperkembangkan seni dalam Islam.

“Sebagai orang seni, saya tidak pandai untuk mencari rezeki dengan bidang lain. Oleh itu saya berharap selepas ada perubahan di Putrajaya nanti, kita boleh lakukan sesuatu bagi memartabatkan seni mengikut acuan Islam,” katanya.

Sementara itu, Hairie dalam ucapannya mencadangkan kepada Pas supaya menerbitkan drama berkaitan perjuangan Islam bagi membolehkan generasi muda tahu asal usul sejarahnya.

“Kita boleh menerbitkan kisah tokoh terkenal dalam gerakan Islam di Malaya seperti Dr Burhanuddin Helmy yang begitu banyak berjasa. Kalau Pas berminat saya pun boleh jadi pelakonnya,” katanya dalam nada berseloroh.