SEMPENA Tahun Melawat Pahang (TMP2017) kali ini, Pulau Tioman yang merupakan pulau peranginan dan terkenal dalam kalangan pelancong tempatan serta luar negara pasti menjadi destinasi pilihan percutian.

Panorama pantainya yang nyaman dengan pasir memutih, laut jernih, keindahan terumbu karang dan saujana hutan tropika yang dimiliki menjadikan Pulau Tioman satu-satunya pulau di Asia yang tersenarai sebagai 10 pulau terbaik untuk berbulan madu oleh Lonely Planet.

Menurut laporan akhbar media perdana, Exco Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin menyasarkan menarik 15 juta pelancong ke Pahang pada tahun ini selaras dengan kempen dilaksanakan.

Koordinator Reef Check Malaysia (RCM), Alvin Chelliah berkata, kemasukan pelancong pada tahun lalu dicatat lebih 200,000 orang dan jumlah itu dijangka meningkat sempena TMP2017 hasil usaha kementerian dan agensi berkaitan menggalakkan pelancong melawat Pahang.

Khuatir terumbu karang terjejas

Industri pelancongan sangat baik dan amat dialu-alukan sebagai sumber pencarian pendapatan kepada penduduk tempatan Pulau Tioman. Namun, tidak dapat menafikan industri pelancongan mempunyai kesan negatif kepada alam semula jadi.

Alvin berkata, RCM telah memantau kesihatan terumbu karang di Pulau Tioman sejak 2007 dan hasilnya mendapati kesihatan terumbu karang di dasar perairan pulau itu tidak merosot, namun tidak juga pernah bertambah baik.

"Justeru, keadaan itu tidak membimbangkan jika bilangan pelancong tidak semakin bertambah. Pembangunan di pulau tidak semakin berkembang, perubahan iklim tidak menjadi semakin teruk dan ancaman tempatan seperti masalah sampah serta sisa kumbahan tidak bertambah.

“Penambahan bilangan pelancong dan perubahan iklim yang semakin teruk setiap tahun, terumbu karang tidak akan dapat menampung beban serta melawan ancaman seperti dulu tambahan pula beban yang ditampung melampaui batas. Faktor ini menyebabkan kesihatan terumbu karang akan terjejas dan semakin merosot sehingga ke satu tahap di mana ia tidak boleh kembali kepada keadaan asal. Jika perkara ini berlaku, maka Pulau Tioman akan kehilangan tarikan utamanya iaitu terumbu karang,” katanya.

Kesan daripada itu, Alvin menjelaskan ia akan membawa kepada masalah penduduk tempatan bakal kehilangan satu-satunya sumber pendapatan kerana 90 peratus daripada mereka mencari nafkah melalui industri pelancongan dengan tarikan terumbu karang.

Justeru, beliau menegaskan semua pihak perlu iikul tanggungjawab memelihara ekosistem terumbu karang yang rapuh supaya kekal dalam keadaan baik untuk generasi akan datang.

Usaha pulihara giat dilaksanakan

Terdapat beberapa golongan di pulau itu telah mengambil langkah yang sangat penting untuk memastikan kemandirian terumbu karang yang merupakan tulang belakang sumber pendapatan orang ramai.

Pihaknya dengan kerjasama Yayasan Sime Darby telah berganding bahu bersama penduduk tempatan, pengusaha-pengusaha yang terlibat dalam industri pelancongan dan kerajaan untuk menjaga kesihatan terumbu karang.

“Beberapa  pemandu snorkel telah dilatih melalui program Cintai Tioman di bawah tajaan Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) menjadikan mereka sebagai pemandu snorkel mesra alam, prestasi mereka juga akan dinilai setiap tahun untuk memastikan cara pengendalian perusahaan kekal mesra alam.

“Beberapa kedai selam juga telah dilatih dan diiktiraf sebagai ahli Green Fins yang merupakan program Bangsa-bangsa Bersatu (Unep) untuk melindungi serta memulihara terumbu karang dengan menggalakkan industri selam yang mampan,” katanya.

Menurut Alvin, ahli Green Fins dikehendaki mengikuti 15 tata kelakuan semasa mengendalikan perusahaan selam di mana prestasi mereka akan dinilai setiap tahun untuk memastikan piawaian yang ditetapkan dipatuhi.

Jelasnya, Program Cintai Tioman juga bekerjasama dengan pengusaha-pengusaha resort untuk meningkatkan perkhidmatan dan menjadikan perniagaan resort lebih mesra alam manakala kedua pihak sedang berusaha untuk mencapai taraf Green Hotel berdasarkan piawaian Asean.

Dalam pada itu, beliau juga mahu menarik perhatian pelancong yang turut berperanan penting bagi memastikan kesihatan terumbu karang di Pulau Tioman agar tidak terjejas disebabkan oleh kehadiran mereka.

“Bagi mengurangkan kesan kepada pulau, antara langkah yang boleh diambil walaupun seakan tidak bermakna tetapi penting adalah menjimatkan penggunaan air, elektrik, kurangkan penggunaan plastik dan membawa sampah anda kembali ke tanah besar.

“Pelancong juga boleh memilih untuk menjalankan aktiviti snorkel dengan pemandu snorkel mesra alam, menyelam dengan ahli Green Fins dan tinggal di resort yang berusaha ke arah untuk mendapatkan taraf Green Hotel selain melibatkan diri dalam program pemuliharaan yang dilakukan,” katanya.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Cintai Tioman dan senarai pemandu snorkel mesra alam, ahli Green Fins dan resort yang berusaha ke arah Green Hotel, ia boleh didapati dengan melayari laman Facebook  Cintai Tioman atau emel pertanyaan kepada wecare@reefcheck.org.my.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.