'Aircond' kereta meletup: Mekanik putus kaki masih di ICU, stabil

KOTA BHARU - Seorang mekanik putus kaki kanan di Kampung Air Merbo Dalam, Tanah Merah pada Jumaat dipercayai berpunca daripada kebocoran gas pendingin hawa semasa sedang membaiki kereta masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tanah Merah.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Azman Yacob berkata, mangsa dilaporkan sudah berada dalam keadaan stabil selepas mendapat rawatan lanjut.
"Ketika ini mangsa berada di bawah pemantauan pakar ortopedik, pembedahan dan bius," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, polis mendedahkan letupan yang berlaku sehingga menyebabkan kaki kanan seorang mekanik putus di Kampung Air Merbo Dalam, Tanah Merah pada Jumaat dipercayai berpunca daripada kebocoran gas pendingin hawa kereta dibaiki mangsa.
Menurut Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Asisten Komisioner Mohd Haki Hasbullah, siasatan awal mendapati pada Jumaat kira-kira jam 8 malam pihaknya mendapat maklumat daripada orang awam berkenaan satu letupan di sebuah bengkel kereta.
Katanya, mangsa, Mohd Sharul Nizam Rahim, 31, bekerja sebagai mekanik dan berasal dari Kampung Air Merbo, Jedok.
Menurut beliau, semasa kejadian mangsa dipercayai sedang bekerja seorang diri di bengkel tersebut.
Ringkasan AI
- Mekanik putus kaki kanan di Kampung Air Merbo Dalam, Tanah Merah kerana kebocoran gas pendingin hawa
- Mangsa kini dirawat di ICU Hospital Tanah Merah dan dalam keadaan stabil
- Berada di bawah pemantauan pakar ortopedik, pembedahan dan bius
- Letupan berpunca daripada kebocoran gas pendingin hawa kereta yang sedang diperbaiki
- Mangsa, Mohd Sharul Nizam Rahim, 31 tahun, bekerja seorang diri di bengkel semasa kejadian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

