Dari lengang kembali ceria

MELAKA - Sebuah kedai makan yang sebelum ini lengang kembali meriah selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, hadir secara mengejut untuk memberi sokongan moral kepada peniaga restoran berkenaan pada Jumaat lalu.
Kehadiran Noor Helmy sekitar jam 12 tengah hari di Restoran Singgah Sini 2, Taman Panglima, nyata menceriakan suasana premis yang sebelum ini sering sunyi.
Pemilik restoran, Syaza Nadzirah Nizar, 40, tidak dapat menahan sebak menerima kunjungan tersebut menyifatkannya sebagai suntikan semangat selepas setahun bergelut mengekalkan perniagaan.
Namun begitu, dia setiap hari menyediakan 30 hingga 40 jenis lauk tanpa jemu, termasuk menu wajib seperti gulai keting dan asam pedas, selain variasi menu bagi memastikan pelanggan tidak bosan.

“Kedai sering lengang. Ada kala sarapan pagi hanya tiga pinggan terjual, malah ada hari lauk langsung tidak terusik. Kalau dapat jual 30 pinggan pun saya sudah bersyukur.
“Kebanyakannya pelanggan dari luar kawasan. Ada pelanggan yang pernah datang biasanya akan datang semula,” kongsinya kepada Sinar Harian.
Syaza berkata, kos operasi bulanan mencecah RM30,000 termasuk RM10,000 gaji lima pekerja selain sewa premis RM2,000 serta bil utiliti sekitar RM800 sebulan.
Jelasnya, operasi di kawasan dikelilingi pejabat menyebabkan kawasan parkir terhad sekali gus menjejaskan kehadiran pelanggan terutama pada hari bekerja.
“Walaupun banyak lauk tidak habis dijual, bahan mentah tetap perlu disediakan setiap hari bagi mengelaknya rosak. Lebihan makanan biasanya dibawa pulang pekerja.
“Pernah terfikir untuk berhenti, tetapi mengenangkan pekerja yang bergantung kepada kedai ini, saya kuatkan semangat teruskan,” kata ibu dua anak itu.
Beliau terpaksa menampung sebahagian kos operasi daripada simpanan sendiri dengan bantuan ibunya pada waktu tertentu.
Usaha mempromosi kedai melalui siaran langsung harian dan perancangan membuka tempahan dalam talian diharap dapat menambah sumber pendapatan.
Sementara itu, Noor Helmy berkata, beliau sering melalui kawasan berkenaan dan berkesempatan singgah untuk mencuba hidangan istimewa restoran tersebut.
“Di sini ada masakan padang Indonesia. Saya cuba rendang daging dan gulai keting. Walaupun sedang berdiet, saya hadir sebagai tanda sokongan,” katanya.
Beliau juga menasihatkan peniaga agar tidak mudah berputus asa memanfaatkan platform digital bagi menarik pelanggan.
Ujarnya, kerajaan Melaka juga bersedia membantu melalui sokongan promosi dan penganjuran program di lokasi bersesuaian.
“Cabaran sekarang berbeza kerana trend pesanan makanan secara dalam talian meningkat dan orang kurang makan di kedai.
“Saya harap peniaga tidak putus asa terus mencuba kaedah baharu, buat promosi bersesuaian dan tampilkan menu yang unik sebagai tarikan,” katanya.
Ringkasan AI
- Kedai makan di Melaka meriah kembali selepas kunjungan mengejut dari ADUN Duyong
- Pemilik restoran menyediakan 30 hingga 40 jenis lauk setiap hari
- Kos operasi bulanan kedai itu adalah RM30,000 yang meliputi gaji pekerja dan sewa
- Kekurangan pelanggan di sebabkan oleh kawasan parkir yang terhad
- Usaha promosi dan harapan untuk membuka tempahan dalam talian bagi meningkatkan pendapatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

