Datang tunggang RX-Z, pulang pandu Mini Cooper

KOTA BHARU – Seorang peniaga tomyam tidak pernah menyangka rezeki ‘luar biasa’ menyapanya apabila namanya diumumkan sebagai penerima utama hadiah cabutan bertuah semasa himpunan permotoran RXZ Forever Legend, sekali gus berjaya membawa pulang sebuah kereta jenis Mini Cooper.
Che Mohd Ayub Kamaruzaman Che Abdullah, 38, dari Kok Keli, Tumpat, merupakan antara kira-kira 20,000 peminat sukan bermotor dari seluruh negara yang hadir memeriahkan himpunan tersebut yang berlangsung di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung di sini.
“Ini merupakan kali pertama saya bertuah dan sebaik sahaja mendengar nama diumumkan, ia bagaikan satu mimpi.
“Tidak sangka hari ini (Sabtu) datang menunggang RX-Z, pulang memandu Mini Cooper. Alhamdulillah,” katanya.

Bapa kepada dua anak itu memberitahu, kereta berkenaan akan dihadiahkan kepada anak sulungnya, Farah Maisarah, 19, yang kini sedang mengikuti pengajian di Management and Science University (MSU).
Ujarnya, bagi melayakkan diri menyertai cabutan bertuah tersebut, dia telah membelanjakan hampir RM500 dengan membeli beberapa helai baju yang dijual sepanjang program berkenaan.
Tambahnya lagi, kemenangan itu dianggap sebagai rezeki tidak disangka-sangka dan menjadi kenangan terindah sepanjang penglibatannya dalam dunia permotoran RX-Z.
Ringkasan AI
- Seorang peniaga tomyam memenangi sebuah Mini Cooper dalam cabutan bertuah di himpunan permotoran RXZ Forever Legend
- Che Mohd Ayub Kamaruzaman Che Abdullah, 38, adalah penerima utama hadiah dalam acara tersebut
- Ia merupakan kali pertama beliau bertuah dalam sebarang cabutan bertuah
- Kereta tersebut akan dihadiahkan kepada anak sulungnya yang sedang belajar di Management and Science University
- Untuk layak menyertai cabutan bertuah, dia membelanjakan hampir RM500 membeli baju sepanjang program berkenaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

