Tabung Amanah Sultan Kedah agih bantuan RM2.04 juta

KUALA LUMPUR - Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK) yang ditubuhkan untuk membantu rakyat berjaya mengagihkan sebanyak RM2.04 juta bermula Oktober 2022 hingga hujung tahun lalu.
Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin bertitah, pengagihan itu dibuat melalui enam teras strategik tabung berkenaan iaitu pendidikan, kebajikan sosial, kesihatan dan kesejahteraan, pemuliharaan alam sekitar, perlindungan alam sekitar dan sukan.
Baginda bertitah, TASK yang ditubuhkan dengan perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berfungsi sebagai platform amanah dan kebajikan bagi menyantuni rakyat khususnya golongan memerlukan, selain memperkukuh kesejahteraan sosial di Kedah.
“Sejak penubuhannya, TASK telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat langsung kepada rakyat jelata. Dalam sektor pendidikan, TASK telah memberi manfaat kepada ramai pelajar B40.
“Dari Oktober 2023 sehingga kini, seramai 2,224 pelajar telah menerima sokongan melalui inisiatif pembangunan diri, latihan kemahiran teknologi termasuk program berasaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), penguasaan bahasa Inggeris, program jaminan penempatan kerja, program murid berkeperluan pendidikan khas serta Program Sarapan Pagi.
“Ini selaras dengan usaha memperluas akses pendidikan berkualiti kepada golongan terpinggir,” titah baginda ketika berucap dalam Majlis Pelancaran TASK di salah sebuah hotel di sini pada Sabtu.
Pelancaran disempurnakan Sultan Sallehuddin. Turut berangkat Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff.
Titah baginda lagi, dalam kebajikan sosial pula, seramai 2,117 keluarga B40 telah menerima pelbagai bentuk bantuan termasuk bakul makanan asas, sumbangan wang tunai, bantuan kembali ke sekolah, bantuan Ramadan, baik pulih rumah, serta sokongan kepada mangsa bencana.
“Bagi teras kesihatan dan kesejahteraan, seramai 2,693 rakyat telah mendapat akses kepada air bersih, bantuan susu tepung dan multivitamin, khususnya untuk ibu hamil berisiko serta kanak‑kanak B40 yang sangat memerlukan.
“Untuk teras perlindungan haiwan, sebanyak 114 haiwan telah menerima manfaat melalui program pemandulan anjing liar, penyelenggaraan pusat perlindungan serta penyediaan makanan kepada haiwan terbiar,” titah baginda.
Baginda bertitah, TASK turut menerima kelulusan pengecualian cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 yang membolehkan sumbangan layak mendapat pengecualian cukai bagi tahun taksiran 2025 dan 2026 mengikut peraturan ditetapkan.
Menyentuh mengenai hala tuju ke depan, baginda bertitah, memperluas manfaat dan memaksimumkan impak melalui enam teras strategik tabung tersebut.
“Semua ini dilakukan dengan kerjasama kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti, serta berdasarkan penilaian impak yang telus, supaya kesejahteraan rakyat di Kedah Darul Aman dapat dicapai secara mampan,” titah baginda.
Ringkasan AI
- Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK) berjaya mengagihkan RM2.04 juta bermula Oktober 2022 hingga hujung tahun
- TASK dibentuk untuk membantu rakyat terutamanya golongan memerlukan dan memperkukuh kesejahteraan sosial di Kedah
- Pengagihan bantuan meliputi enam teras strategik termasuk pendidikan, kebajikan sosial, dan kesihatan
- Dalam pendidikan, 2,224 pelajar B40 telah menerima sokongan seperti latihan kemahiran dan program pendidikan khas
- TASK juga mendapat kelulusan pengecualian cukai bagi tahun taksiran 2025 dan 2026
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

