Jong Tanjung Piai terus hidup

PONTIAN - Di sebuah bengkel kecil di Kampung Serkat, Tanjung Piai, Pontian, tersimpan kisah unik pembuatan jong yang diusahakan oleh Abdul Rahman Abdul Samad, 56, bersama anaknya, Nur Ikram, 26.
Permainan jong, iaitu perahu layar kecil tanpa pengemudi, pernah menjadi kegemaran kerabat Kesultanan Johor–Riau serta golongan nelayan pada suatu masa dahulu.
Hingga kini, ia masih mendapat tempat dalam kalangan nelayan di Tanjung Piai, Pontian dan Tanjung Surat, Kota Tinggi, sebagai simbol warisan budaya maritim yang terus hidup dan diwarisi dari satu generasi ke generasi berikutnya.

Bagi Abdul Rahman, penghasilan jong bukan sekadar kerja tangan menggunakan kayu dan layar, sebaliknya lahir daripada sentuhan tradisi serta minat peribadi yang mendalam.
“Saya mula bermain jong sejak usia 20 tahun di Kampung Serkat, berhampiran laut Pengkalan Penghulu. Dari situ, minat terhadap permainan ini semakin mendalam.
“Pada peringkat awal, saya diajak menebang kayu pulai, satu-satunya jenis kayu yang sesuai untuk membuat jong. Selepas itu, saya diajar keseluruhan proses pembuatan, bermula daripada mencari pokok yang sesuai, memotong hingga menjemur kayu,” katanya.
Menurut Abdul Rahman, pembuatan jong memerlukan ketelitian tinggi kerana setiap ukuran memberi kesan terhadap keupayaannya untuk belayar dengan stabil, terutama ketika angin kuat dan laut bergelora.
Beliau turut menjelaskan peranan bahagian penting jong yang dikenali sebagai sauk, iaitu komponen yang berfungsi sebagai tiang seri dan membezakan jong tempatan dengan jong yang dihasilkan di Indonesia.
“Tahap kesukaran pembuatan jong terletak pada ketepatan ukuran panjang dan pendek, khususnya pada bahagian sauk yang menjadi komponen paling penting,” ujarnya.

Hasil ketekunan bertahun-tahun, Abdul Rahman kini berbangga apabila berjaya menghasilkan lebih 100 jong, termasuk menerima tempahan dari Singapura, selain mempamerkan hasil karyanya di Galeri Seni Jong Serkat.
Pencapaian itu turut membuka ruang kepada beliau untuk terlibat dalam pelbagai pameran kraf tangan di Johor Bahru, sekali gus mengetengahkan jong sebagai produk pelancongan di Pontian.
“Sebagai pembuat jong, saya amat berbangga kerana berpeluang mempersembahkan permainan ini di hadapan Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim sempena Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2023,” katanya.
Sementara itu, Nur Ikram berkata, permainan jong sudah sebati dalam dirinya kerana sejak kecil sering menemani bapanya bermain permainan tradisi tersebut.
Minat untuk mempelajari pembuatan jong, katanya, timbul apabila menyedari tidak ramai anak muda berminat meneruskan tradisi itu.
“Saya tertarik dengan kelajuan jong dan cara ia bergerak di laut. Dari situ, saya ingin tahu bagaimana ia dibuat. Saya belajar daripada ayah bermula dengan bentuk asas jong, dan kini membantu menyiapkan jong terutama yang ditempah untuk pertandingan atau dijadikan hiasan bersaiz kecil,” katanya.

Menariknya, permainan jong turut menarik minat belia tempatan, termasuk Mohd Farid Abdullah, 32, yang mula jatuh hati dengan permainan itu selepas menyertai pertandingan di Tanjung Belungkor, Kota Tinggi, kira-kira tujuh tahun lalu.
“Apabila melepaskan jong ke laut, perasaan teruja memang sukar digambarkan apabila melihat perahu layar kecil tanpa pengemudi ini membelah laut dalam keadaan angin bergelora.
“Sejak itu, saya tidak melepaskan peluang menyertai pertandingan jong dan turut belajar di Serkat di bawah bimbingan Abdul Rahman,” katanya.
Usaha Abdul Rahman bersama anaknya bukan sahaja memastikan kelangsungan seni permainan jong, malah membuka ruang kepada generasi muda untuk mengenali dan menghargai warisan maritim Melayu yang semakin jarang ditemui.
INFO
JONG TANJUNG PIAI
-Perahu layar tanpa pengemudi
-Dibuat daripada kayu pulai
-Sauk jadi penentu imbangan
-Diuji di laut terbuka
-Warisan bapa dan anak
-Lebih 100 jong dihasilkan
Ringkasan AI
- Perahu layar tanpa pengemudi dibuat daripada kayu pulai
- Sauk jadi penentu imbangan diuji di laut terbuka
- Warisan bapa dan anak dengan lebih 100 jong dihasilkan
- Abdul Rahman dan anaknya, Nur Ikram, memelihara warisan maritim Melayu melalui pembuatan jong
- Peluang kepada generasi muda untuk mengenali dan menghargai warisan maritim Melayu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

